Hasil PETRONAS Gas tidak terjejas oleh letupan di Putra Heights - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil PETRONAS Gas tidak terjejas oleh letupan di Putra Heights - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Hasil PETRONAS Gas Berhad (PGB) diramal tidak terjejas susulan insiden kebakaran saluran paip meletup di Putra Heights pada 1 April 2025, kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia masih lagi kekal yakin ke atas saham PetGas dan mengekalkan saranan 'beli' di kaunter walaupun pendapatannya diunjurkan RM60 juta ekoran insiden berkenaan.


Katanya, tinjauan terhadap hasil PGB adalah stabil, dengan kunci kira-kira kukuh dan perolehan dividen teguh terus menyokong penilaiannya, dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM19.08.


"Pada ramalan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 17.7 kali bagi FY25, harga saham PGB masih berpatutan memandangkan asas kukuh dan profil aliran tunai yang stabil," katanya dalam satu nota.


CIMB Securities juga mengecilkan kebimbangan terhadap penalti kawal selia atau liabiliti pihak ketiga, dengan menyatakan laporan penyiasatan rasmi mengaitkan kejadian itu dengan faktor luaran.


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut membuat kesimpulan bahawa tanah yang tidak stabil di bawah saluran gas itu menyebabkan kegagalan fizikal dan kebocoran, serta mencetuskan kebakaran.


Sementara siasatan oleh polis pula mendapati tiada bukti perbuatan jahat pihak tertentu, manakala saluran paip penghantaran itu disahkan sudah memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejadian itu berpunca daripada pelbagai faktor persekitaran, termasuk tanah, air bawah tanah, sistem perparitan dan pembangunan bandar.


Dalam pada itu, PGB telah menganggarkan jumlah impak pendapatan sebanyak RM60 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sebahagian besarnya akan diiktiraf pada suku kedua dan ketiga.


Syarikat tersebut menurut CIMB Securities, menjangkakan kos pembaikan dan pemulihan aset mencecah kira-kira RM170 juta, dengan sebahagiannya dibiayai sendiri di bawah perbelanjaan modal (capex).


Tuntutan insurans pula kata firma penyelidikan tersebut, dijangka pulih kurang daripada RM50 juta, manakala kerugian hasil akibat gangguan perkhidmatan gas pula dianggarkan sekitar RM20 juta.


Walaupun mengalami kemerosotan, PGB diramal mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM1.97 bilion pada tahun kewangan 2025, meningkat berbanding hanya kira-kira RM1.82 bilion pada 2023.


Di samping itu, pemberian dividen kumpulan berkenaan dijangka meningkat sedikit kepada 75 sen sesaham, mewakili hasil sebanyak 4.3 peratus. - DagangNews.com