KUALA LUMPUR 9 Julai — Pendapatan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dijangka lemah pada suku seterusnya ekoran tekanan di beberapa sektor tertentu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ini termasuk dalam segmen olefin dan derivatif (O&D) yang masih lagi lemah berikutan berlaku lebihan bekalan serantau secara berterusan, terutamanya dari China.
Tambahnya, sebaran O&D yang terus lemah pada tempoh suku kedua 2025, kini sudah berada pada paras paling rendah berbilang tahun direkodkan sejak pandemik Covid-19 ketika separuh pertama 2020.
Keadaan berkenaan kata Maybank IB, turut didorong oleh pembinaan banyak kompleks petrokimia akan datang yang sengit, khususnya dari China, disebabkan langkah pemacuan negara itu untuk sara diri.
"Kami memantau teliti perkembangan industri bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan pemulihan sektor itu, kerana kebanyakan pemain berasaskan naphtha mengalami kerugian semasa," katanya.
Selain itu tambahnya, kadar dolar Amerika Syarikat (AS) lebih lemah boleh mengakibatkan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasikan, apabila ringgit menambah nilai sebanyak lima peratus.
Berdasarkan arah aliran sejarah kata Maybank IB, PCG melaksanakan penilaian pasaran dan buku dalam menangani kesan daripada pertukaran mata wang asing ke atas aset mereka pada setiap suku tahun.
Ia berkata, keuntungan utama suku kedua akan datang boleh terjejas secara negatif oleh penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company (PPC) serta pemiutang kedua.
"Berdasarkan anggaran kami, PCG boleh mencatatkan pendapatan teras yang lebih lemah dalam tempoh suku kedua 2025 disebabkan penutupan dalam sebuah lojinya dan penurunan segmen O&D," katanya.
Maybank IB namun berkata, potensi peningkatan hasil boleh berlaku jika PPC dimiliki 50 peratus syarikat itu berjaya memperoleh 'diskaun istimewa' bergantung kepada keuntungan yang kedua pula.
Ini tambahnya, berikutan margin penapisan kasar yang menggalakkan dan subsidi itu boleh membantu mengimbangi kerugian PPC serta memberikan kelegaan kepada keuntungan PCG pada separuh kedua 2025.
Berdasarkan perkembangan positif tersebut, firma berkenaan mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham kumpulan itu dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.59 sesaham. - DagangNews.com








