KUALA LUMPUR 8 Julai — Pantech Group Holdings Berhad dibimbangi merekodkan kemerosotan hasil pada suku keempat tahun kewangan 2025 disebabkan faktor kelemahan permintaan, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, penyusutan itu berikutan kekurangan pembelian daripada sektor minyak dan gas (O&G) mengakibatkan sumbangan rendah dari bahagian pembuatan kumpulan berkenaan.
Perkembangan tidak begitu menggalakkan itu katanya, dapat disaksikan menerusi pendapatannya pada tempoh 3QFY25 apabila pengeluar paip dan injap ini mencatatkan kejatuhan dua peratus suku ke suku.
"Keuntungan bersih teras Pantech juga merosot sebanyak 28 peratus apabila margin menguncup kepada 9.8 peratus berbanding 13.3 peratus pada 2QFY25," kata Phillip Capital dalam satu nota kajiannya.
Justeru tambahnya, hasil 4QFY25 diunjur turun sebanyak 22 peratus, disebabkan oleh penurunan 43 peratus dalam segmen dagangan disebabkan keadaan permintaan O&G domestik dijangka lebih lemah.
Selain itu kata firma tersebut, pelaksanaan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus yang meliputi gegelung keluli tahan karat diimport turut diramal memberi kesan buruk.
Pantech mungkin sukar untuk memindahkan beban percukaian itu untuk diserap pelanggan sepenuhnya dan ia melihat kesan pendapatan kumpulan kemungkinan menyusut antara tiga hingga empat peratus.
"Untuk mengurangkan masalah ini, kumpulan itu dijangka cuba memohon pengecualian SST bagi produk berkaitan eksport kerana ia mewakili 20 peratus daripada jumlah kos barang yang dijual," katanya.
Bagaimanapun, pihak pengurusan syarikat itu yang ditemui firma penyelidikan tersebut menyatakan keyakinan dengan prospek pertumbuhan berikutan tempahan kukuh pasaran sedia ada di luar negara.
Ini termasuk bagi projek yang berkaitan pembangunan pusat data di Amerika Syarikat dan Mexico di samping ia ada kelebihan susulan Kesatuan Eropah mengenakan cukai antilambakan ke atas China.
Berdasarkan perkembangan positif semasa tersebut, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada 89 sen sesaham. - DagangNews.com








