Hasil KWSP turun disebabkan prestasi pasaran ekuiti lemah - Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil KWSP turun disebabkan prestasi pasaran ekuiti lemah - Kementerian Kewangan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Julai — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyaksikan hasil pelaburannya susut disebabkan terutama oleh prestasi pasaran ekuiti lebih lemah, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

 

Ia menambah, penurunan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penjualan aset asing KWSP atau peningkatan pelaburan dalam ekuiti domestik yang bertujuan menyokong nilai mata wang ringgit.

 

Agensi pengurusan dana tersebut baru-baru ini mencatatkan kemerosotan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini iaitu RM18.31 bilion berbanding sebanyak RM20.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

 

 

 

 

 

 

"Prestasi itu sebahagian besarnya didorong oleh isu peningkatan ketegangan perdagangan global dan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak dapat diramalkan," kata kementerian berkenaan.

 

MoF menyatakannya dalam jawapan bertulis yang disiarkan portal Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan seorang Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Perikatan Nasional-Tanjong Karang).

 

Beliau bertanya mengenai faktor utama kejatuhan pendapatan KWSP sebanyak 13 peratus pada suku pertama dan sama ada penyusutan berkenaan disebabkan faktor penjualan aset luar negara dana itu.

 

Mengulas lanjut, MOF berkata, walaupun beberapa bank pusat di seluruh dunia telah mula melonggarkan dasar monetari, sentimen pelabur kekal rapuh berikutan kebimbangan terhadap pelbagai isu luaran.

 

"Ini termasuk situasi ketidakstabilan geopolitik, ketidakseimbangan fiskal dan konflik serantau, yang kesemuanya telah menjejaskan keyakinan pasaran tempatan sendiri," kata kementerian tersebut.

 

Impak keadaan pasaran semasa tambah MoF, dicerminkan dalam pulangan pelaburan ekuiti KWSP, yang turun sebanyak 2% kepada RM10.81 bilion pada 1QFY25, turun daripada RM14.02 bilion pada 1QFY24.

 

Bagaimanapun ekuiti katanya, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP, iaitu kira-kira 59 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tempoh suku pertama tahun ini.

 

Walaupun prestasi lemah, MoF berkata, KWSP mengikuti strategi pelaburan berdisiplin, berpandukan rangka kerja peruntukan aset strategik untuk memastikan pulangan mampan. - DagangNews.com