Hasil KPJ Healthcare diramal lebih positif didorong pemulihan pada 2H25 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil KPJ Healthcare diramal lebih positif didorong pemulihan pada 2H25 - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Hasil KPJ Healthcare Berhad diramal lebih positif pada separuh kedua tahun ini didorong jangkaan berlaku pemulihan perolehan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, pendapatan kumpulan itu diramal kekal berdaya saing selaras dengan misi memenuhi sasaran sejumlah 6,000 katil di semua rangkaian hospitalnya menjelang 2030.


Tambahnya, berdasarkan tinjauan baru-baru ini, firma berkenaan mendapati kumpulan tersebut dalam usaha pengoptimuman kos yang dijangka mampu menyokong perolehannya untuk terus kekal lebih stabil.


"Selain itu, kami berpandangan isu kelewatan pelaksanaan model bayaran sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) adalah positif kepada KPJ Healthcare," menurut Maybank IB dalam nota kajiannya.


Situasi berkenaan katanya, menyebabkan potensi pendapatan kumpulan itu tidak dihadkan untuk jangka masa terdekat dan sebenarnya ia memberi kelebihan kepada peningkatan margin keuntungan hospital.


Pada masa sama tambah firma tersebut, segmen pelancongan perubatan diramal kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama kerana ia pernah menyumbang sebanyak enam peratus daripada hasilnya pada FY24.


Maybank IB turut optimis dengan pelancaran hospital baharu KPJ Healthcare yang memiliki 60 katil di Kuala Selangor, Selangor pada 16 April 2025 sebagai sebahagian pengembangannya secara organik.


"Pembukaan fasiliti berkenaan diramal menyokong kemajuan ke arah sasaran 6,000 katil dengan turut dibantu lima lagi hospital lain di bawah rangkaiannya yang menjana hasil jangka pendek," katanya.


Sejajar dengan perkembangan tersebut, firma berkenaan mengekalkan ramalan margin kasar dari tahun kewangan 2025 sehingga 2027 sebanyak 24 peratus dengan anggaran pendapatan masih tidak berubah.


Ini termasuk kesan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus ke atas pajakan premis sementara banyak pihak menunggu penjelasan lanjut mengenai pengecualian yang ada.


Berdasarkan situasi asas teguh itu, Maybank IB terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas KPJ Healthcare dengan harga sasaran diturunkan kepada RM3.20 daripada RM3.24 sesaham. - DagangNews.com