Hasil kilang penapisan gula di Johor bakal pacu pertumbuhan MSM Malaysia, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil kilang penapisan gula di Johor bakal pacu pertumbuhan MSM Malaysia, kata MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - Pertumbuhan pendapatan MSM Malaysia Holdings Bhd  diramal berkembang secara beransur-ansur dibantu oleh sumbangan hasil daripada kilang penapisan gula  di Johor, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, proses pengeluaran lancar itu membolehkan kumpulan meningkatkan aktiviti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negara Asia Pasifik (APAC), disokong oleh insentif kerajaan yang berterusan.

 

Pada asas suku ke suku (QoQ), pengeluar gula halus itu mencatat pemulihan hasil pada 4QFY24 disokong oleh harga jualan purata (ASP) yang kukuh dan kenaikan 19.5% dalam volum jualan disokong oleh perkembangan industri dan segmen eksport. 

 

MIDF mengaitkan aliran positif ini dengan kerancakan aktiviti sector makanan dan minuman (F&B) tempatan semasa musim perayaan, serta peningkatan permintaan daripada negara APAC.

 

Katanya, faktor penggunaan (UF) MSM pada suku tersebut kekal pada 64% disebabkan tiada penutupan kilang MSM Prai dan kilangnya di Johor. 

 

"Dengan Boiler 3 dijangka bermula pada 4QCY25 di kilang penapisan Johor, UF dijangka bertambah baik kepada julat 35%-40%.

 

"Selain itu, hari operasi tanpa gangguan, dijangka menyokong keseluruhan UF kumpulan untuk mencapai kira-kira 57%-60%," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

MIDF menyemak turun unjuran pendapatan MSM sebanyak 19% pada FY26, kerana firma tersebut mengambil kira faktor tukaran mata wang asing (forex) dan nilai ringgit dalam  lingkungan RM4.57 sehingga RM4.48 berbanding sedolar. 

 

ARTIKEL BERKAITAN:MSM Malaysia catat pendapatan RM96 juta pada 4QFY24 disokong oleh operasi lebih cekap

 

"Kami menganggarkan UF syarikat akan mencapai sebanyak 60% pada suku keempat 2025 kerana kami konservatif terhadap perang harga kompetitif antara pemain negara APAC yang mungkin masih mempunyai inventori bawa ke hadapan untuk tahun ini," katanya. 

 

Sementara itu, MIDF menaikkan saranan kepada "beli" ke atas MSM dengan meningkatkan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.55 daripada RM1.24 sesaham. - DagangNews.com