KUALA LUMPUR 10 Julai — Gas Malaysia Berhad dikhuatiri mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 11 peratus pada tahun ini berikutan harga jualan lebih rendah, menurut Affin Hwang Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan diburukkan lagi dengan isu kemerosotan margin untuk penghantaran gas di sebalik sebahagian besar prospek pendapatannya mungkin tidak berubah ketara.
Tambahnya, ia menjangkakan kumpulan itu melaporkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM391 juta berikutan margin keuntungan yang terus merosot daripada Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd.
"Penurunan harga jualan gas asli, ekoran harga minyak mentah global lebih lemah telah menjejaskan unjuran anak syarikatnya itu dan keseluruhan kumpulan," kata Affin Hwang dalam nota kajiannya.
Katanya, pasaran minyak global berkemungkinan memasuki fasa lebihan bekalan pada baki tahun ini dan seterusnya, dengan ia mengandaikan tiada sebarang gangguan besar kepada rantaian bekalan.
Harga minyak yang lebih rendah pula tambahnya, didorong keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) membatalkan program pemotongan bekalan baharu secara sukarela.
Situasi berkenaan kata Affin Hwang, dilemahkan lagi dengan pertumbuhan permintaan yang perlahan dari China serta pengukuhan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Pertumbuhan permintaan global diramalkan terus diterajui oleh Asia Pasifik, khususnya India, manakala permintaan di rantau yang lain dijangka adalah kekal mendatar,” tambah firma tersebut.
Selain itu, ia menjangka harga minyak mentah penanda aras antarabangsa iaitu Brent pada 2025 dan 2026 masing-masing berada julat AS$70 (kira-kira RM297.55) setong dan AS$65 (RM27.30) setong.
Perkembangan lemah tersebut kata Affin Hwang, membayangkan penurunan masing-masing 13 peratus dan 19 peratus daripada purata harga minyak mentah Brent 2024 sebanyak AS$80 (RM340.00) setong.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tetap percaya aliran bekalan jualan gas asli yang lebih tinggi, akan didorong oleh keuntungan bahagian pasaran, dan membantu mengurangkan kesan lemah.
"Kami turut menyukai prospek Gas Malaysia kerana kumpulan ini sedang membangunkan terminal baharu pengegasan semula namun adalah terlalu awal bagi memasukkan sumbangan pendapatan itu," katanya.
Projek tersebut secara dasarnya tambah Affin Hwang memiliki potensi peningkatan penilaian, tetapi kumpulan itu masih belum memuktamadkan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga. - DagangNews.com








