KUALA LUMPUR 7 Feb - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka mengekalkan trajektori pendapatannya pada tahun kewangan 2025 (FY25) berdasarkan buku pesanan kukuh, kos bahan mentah stabil dan kecekapan pelaksanaan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan bersih SunCon pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) berjumlah RM63.6 juta, tidak termasuk kos turun naik yang tidak dijangka.
Katanya, unjuran itu memberi keyakinan terhadap prospek kewangan FY25 SunCon memandangkan buku pesanan terkumpul kumpulan itu berjumlah RM7.07 bilion pada September 2024.
"Kami menjangkakan pembayaran dividen 1 sen sesaham pada 4QFY24, menjadikan jumlah dividen setiap saham (DPS) kepada 7 sen bagi FY24 didorong oleh kemerosotan kos input bahan mentah (keluli dan simen) yang bakal menambahkan margin keuntungan.
"Selain itu, projek Pusat Data JHB1X0 dijangka menjadi pemacu hasil dan keuntungan yang ketara untuk SunCon pada 4QFY24," katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.
MID berkata, keupayaan syarikat untuk mendapatkan kontrak baharu dan memanfaatkan pengembangan infrastruktur akan menjadi penting dalam memacu pertumbuhan selanjutnya.
“Kami mengekalkan saranan "beli" pada SunCon dengan harga sasaran (TP) RM4.46 sesaham.
"Anggaran pendapatan kami kekal tidak berubah menjelang keputusan 4QFY24 akan datang, yang dijangka mengambil kira dalam pengebilan daripada projek utama kumpulan seperti Pusat Data JHB1X0, Pakej Sistem Transit Rapid (RTS Link) 1B dan 5 dan pembangunan Dataran Sunway.
SunCon berada di landasan untuk mencapai sasaran penambahan buku pesanan mereka sebanyak RM5 bilion untuk FY24.
"Walaupun tidak semua projek akan menghasilkan pengiktirafan hasil serta-merta dalam 4QFY24, portfolio kumpulan dan kemajuan berperingkat merentasi kontrak memastikan sumbangan pengebilan yang stabil, mengukuhkan lagi prospek pendapatannya.
"Pelaksanaan berterusan projek-projek ini menyerlahkan kekuatan operasi SunCon dan meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk mencapai prestasi kewangan mampan menjelang FY25," katanya.- DagangNews.com








