Hasil CTOS diyakini mendatar pada 2QFY25 akibat kurang pertumbuhan perniagaan - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil CTOS diyakini mendatar pada 2QFY25 akibat kurang pertumbuhan perniagaan - BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — CTOS Digital Berhad diyakini akan menjana kurang pendapatan dalam keputusan suku kedua 2025, berikutan situasi pertumbuhan perniagaannya ketika ini, menurut BIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, keuntungan bersih kumpulan itu berkemungkinan mencecah RM24 juta hingga RM26 juta bagi tempoh April hingga Jun 2025 yang secara amnya adalah mendatar tahun ke tahun.


Tambahnya, keadaan perniagaan syarikat pelaporan kredit itu pada umumnya telah pulih dalam keadaan pertumbuhan pinjaman industri adalah stabil selain rekod pertumbuhan yang baik dalam pasaran utama.


"Kami jangka pihak pengurusan CTOS berusaha menyegarkan perniagaan mereka tetapi mengesahkan ia masih lagi berada di bahagian bawah julat sedia ada," kata BIMB Securities dalam nota kajiannya. 


Berdasarkan perkembangan semasa berkenaan, firma tersebut terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) juga adalah tidak berubah kepada sebanyak RM1.27 sesaham.


Pada masa yang sama, firma berkenaan meramalkan keuntungan bersih kira-kira RM119 juta untuk tahun kewangan 2025 penuh dengan unjuran sedikit lebih tinggi daripada anggaran konsensus iaitu RM112 juta.


Saham CTOS telah melantun daripada paras terendah pada April 2025, dengan pelabur yang membelinya sejak akhir 2024 dan masih bertahan dijangka mengalami kerugian mencecah 20 peratus setakat ini.


Kumpulan tersebut juga tidak mempunyai ketua eksekutif tetap sejak 1 Mei 2025 selepas Erick Hamburger berundur dan kekosongan tempat beliau kemudian diambil alih secara sementara oleh Loh Kok Leong.  


Bagaimanapun lapan daripada 11 firma penyelidikan yang meliputi CTOS mengesyorkan 'beli', manakala dua 'pegang' dan hanya satu penarafan 'jual', dengan purata TP selama 12 bulan ialah RM1.29 sesaham.


Keadaan berkenaan tambah BIMB Securities, membayangkan secara umum potensi keuntungan modal sehingga 36 peratus daripada harga semasa 95 sen, yang menilai syarikat tersebut kepada lebih RM2 bilion.


“Perniagaannya didapati terus menempuh gelombang perkhidmatan kewangan digital, penggunaan kredit yang lebih luas, dan peningkatan selera institusi untuk analisis risiko,” kata firma tersebut.


CTOS kini dinilai pada 23 kali aliran tunai percumanya untuk 2025, iaitu paling murah dan 36 peratus di bawah rakan setara globalnya, sambil ia menyatakan bahawa ramai pelabur mengelak saham itu.


Situasi berkenaan katanya, disebabkan ketiadaan sesiapa yang mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif sehingga kini dan prestasi suku yang lebih lemah daripada jangkaan BIMB Securities baru-baru ini.


Ia bagaimanapun percaya risiko penurunan kini terhad dan pada tahap semasa, CTOS mempersembahkan peluang nilai mendalam yang menarik, disokong hasil dividen 3.5 peratus. - DagangNews.com