Hasil Betamek bagi 3QFY25 meningkat 22% kepada RM72.26 juta didorong tempahan jualan lebih tinggi daripada Perodua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Betamek bagi 3QFY25 meningkat 22% kepada RM72.26 juta didorong tempahan jualan lebih tinggi daripada Perodua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Betamek Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 22% kepada RM72.26 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) berbanding RM59.22 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong pesanan jualan lebih tinggi daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

 

Peningkatan hasil itu turut dipacu sumbangan baharu daripada Sanshin (Malaysia) Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, untung bersih kumpulan itu menyusut sedikit kepada RM4.73 juta berbanding RM5.05 juta pada 3QFY24.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY25), kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM178.55 juta, peningkatan 7.6% daripada RM166.01 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Untung bersih kumpulan bgi 9MFY25 berjumlah RM20.07 juta, mencerminkan peningkatan 29.4% daripada RM15.51 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, menunjukkan kesan positif daripada inisiatif strategik kumpulan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, prestasi kukuh kumpulan pada 3QFY25 mencerminkan daya tahan strategi perniagaan mereka, disokong pertumbuhan mampan sektor automotif dan peningkatan sumbangan daripada pemerolehan Sanshin.

 

Katanya, pengabungan itu mengukuhkan kedudukan pasaran kumpulan dan mereka kekal fokus kepada usaha mengoptimumkan keuntungan melalui peningkatan kecekapan kos dan penyepaduan operasi.

 

"Sokongan daripada geran kerajaan sebanyak RM396,420 yang dianugerahkan oleh MIDF menggariskan komitmen kami untuk menerima transformasi digital dan pembuatan pintar.

 

"Pengiktirafan daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengukuhkan lagi kepimpinan industri kami, meletakkan Betamek sebagai pembekal yang dipercayai dalam ekosistem automotif.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus berinovasi dan memanfaatkan perkongsian kami untuk meningkatkan keupayaan operasi dan memanfaatkan peluang yang muncul, terutamanya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan pintar yang berkembang," katanya.

 

Berikutan prestasi kewangan yang kukuh pada 3QFY25, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat ketiga sebanyak 1 sen sesaham biasa, yang perlu dibayar pada 19 Mac 2025.

 

Ini menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tempoh 9MFY25 kepada 3.25 sen sesaham biasa, mencerminkan komitmen berterusan Betamek untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil mengekalkan trajektori pertumbuhannya. - DagangNews.com