Hartanah Sunway REIT bakal menerima manfaat kedatangan pelancong ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartanah Sunway REIT bakal menerima manfaat kedatangan pelancong ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 - penganalisis

Hotel Sunway Lagoon - Gambar hiasan dari laman web rasmi Sunway REIT
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Penganalisis meramalkan segmen hartanah Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) memanfaatkan kedatangan pelancong melalui inisiatif seperti ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal mendorong kepada pertumbuhan tahun kewangan 2025 (FY25) kumpulan. 

 

HLIB Research berkata, aset hotel Sunway REIT yang kini mempunyai kadar penghunian 65% akan meraih manfaat daripada inisiatif tersebut. 

 

"Selain itu, prestasi runcitnya dijangka mendapat manfaat daripada dasar meningkatkan pendapatan seperti kenaikan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam, dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan setahun penuh daripada Sunway Oasis dan Kluang Mall, bersama-sama dengan potensi suntikan pertengahan tahun Aeon Mall Seri Manjung, akan meningkatkan lagi pendapatan.

 

Sunway REIT melaporkan keuntungan bersih Sunway REIT sebanyak RM524.75 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

Syarikat itu berkata, pertumbuhan itu didorong oleh sumbangan daripada sembilan hartanah yang baru diambil alih pada 2024, serta prestasi kukuh dalam segmen runcit dan hotel, dilengkapkan dengan keputusan stabil daripada segmen lain.

 

HLIB Research menaikkan unjuran Sunway REIT bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 4.6% dan 4.3%, mencerminkan suntikan Kluang Mall ke dalam portfolionya pada akhir Disember 2024.

 

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd berkata, pengumuman Sunway REIT mengenai pengambilalihan AEON Mall Seri Manjung, boleh meningkatkan unjuran pendapatan FY25-FY26 sebanyak 0.3% kepada 0.7%.

 

"Walaupun pertambahan pendapatan daripada aset ini tidak ketara, dianggarkan pada 1.4% daripada jumlah nilai hartanah kumpulan, kami melihat pemerolehan itu secara positif berikutan pertimbangan pembelian saksamanya (4.8% di bawah nilai pasaran) dan hasil pengembangan dan mempelbagaikan asas pendapatan Sunway REIT," katanya.

 

CIMB Securities mengunjurkan pendapatan FY25 syarikat meningkat 11.6% tahun ke tahun (YoY).

 

Firma itu berkata, pertumbuhan itu dijangka dipacu oleh pengambilalihan tertinggi berjumlah RM899 juta yang telah siap pada FY24, penyiapan inisiatif peningkatan aset (AEI) di Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall, serta kadar penghunian yang lebih tinggi dan pengembalian sewa yang positif .

 

Kedua-dua firma itu mengekalkan saranan "beli" ke atas Sunway REIT, dengan HLIB menetapkan harga sasaran (TP) RM2.04 dan CIMB Securities menaikkan TP kepada RM2.11 daripada RM2.09. - DagangNews.com