KUALA LUMPUR 26 Mac – Persatuan pekebun dan petani memberi amaran kemungkinan harga sayur di negara ini akan meningkat susulan kemarau dan perang di Timur Tengah.
Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur, Ibrahim Roslan berkata musim kemarau ketika ini telah menyebabkan kerugian hasil tanaman yang sangat besar.
“Beberapa kawasan di utara Malaysia hampir dua bulan tidak menerima hujan, menyebabkan sumber air mengering. Tahun lepas, petani boleh menghasilkan sehingga tiga tan sebulan. Tahun ini, sesetengah ladang langsung tidak menghasilkan tanaman kerana kekurangan air," katanya, menurut laporan New Straits Times.
Tambahnya operasi pengairan telah dikurangkan dengan ketara, di mana petani kini hanya mampu menyiram tanaman mereka hanya sekali sahaja dalam tempoh sehari.
“Keadaan ini menjejaskan kedua-dua kuantiti dan kualiti hasil pertanian. Secara keseluruhan, pengeluaran menurun, dan kualiti juga merosot. Kami menganggarkan kualiti mungkin jatuh antara 50 hingga 60 peratus akibat kekurangan air," katanya.
Ibrahim berkata bekalan yang berkurangan akan mendorong kenaikan harga dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Jun.
Selain itu, beliau berkata konflik di Timur Tengah menyumbang kepada kenaikan kos bahan api diesel yang digunakan dalam sektor pertanian.

"Harga baja dan racun perosak yang melambung juga meningkatkan kos pengeluaran bagi petani.
“Kami menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mempertimbangkan operasi pembenihan awan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Lim Ser Kwee berkata kos operasi yang meningkat turut memburukkan keadaan.
“Petani kini perlu menyiram tanaman lebih kerap akibat cuaca panas, sekali gus meningkatkan penggunaan diesel walaupun bekalan terhad.
"Kadang-kadang kami hanya dapat 20 liter diesel sehari, tetapi ladang mungkin memerlukan sehingga 40 liter.
“Kos pengeluaran telah meningkat 20 hingga 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dan harga runcit meningkat lebih cepat daripada harga ladang disebabkan penambahan kos oleh orang tengah sepanjang rantaian bekalan,” katanya lagi.
Malaysia sangat bergantung kepada import makanan, termasuk sayur, dan kebergantungan ini menjadikan sektor pertanian lebih terdedah kepada gangguan luaran.

Perang yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran telah mengganggu perdagangan global dan pasaran tenaga.
Pertempuran sekitar Selat Hormuz telah mengurangkan trafik kapal tangki, menaikkan kos tenaga dan menekan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Perkembangan ini menambah tekanan domestik, dengan kenaikan kos diesel dan input menjejaskan petani di seluruh Malaysia.
Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Pekebun Cina Cameron Highlands Cheng Nan Hong pula berkata kenaikan kos diesel, pengangkutan dan bahan import menambah tekanan ke atas petani.
Beliau berkata benih dan bahan lain kebanyakannya diimport, menjadikan sektor ini terdedah kepada turun naik harga global dan menganggarkan kos pengeluaran telah meningkat antara 10 hingga 20 peratus.








