Harga RON95 turun RM1.99 seliter bermula 27 September ini - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga RON95 turun RM1.99 seliter bermula 27 September ini - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept - Bermula 30 September ini, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September.

 

madani pet

 

"Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.

 

"Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan MADANI dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

 

"Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik

 

"Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi," katanya.

 

Beliau menambah, bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

 

Perdana Menteri berkata pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.

 

Dengan ini katanya, pada 27 September 2025 (Sabtu), sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota
tentera dan polis.

 

Pada 28 September 2025 (Ahad) pula katanya, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40

 

"Dan pada 30 September 2025 (Selasa), sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen
memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.

 

Walau bagaimanapun, rakyat ujarnya, tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.

 

Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung BUDI95 dari semasa ke semasa. Orang ramai disaran untuk merujuk saluran rasmi MOF bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih. - DagangNews.com