KUALA LUMPUR 20 Mac - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa penggiat industri serta orang ramai untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti jual beli minyak masak terpakai (Used Cooking Oil atau UCO) bagi menyokong pembangunan ekonomi kitaran negara.
Bagi menjamin ketelusan transaksi dan memudahkan urusan pasaran, MPOB menyediakan portal rujukan harga UCO bagi pasaran domestik yang boleh diakses secara percuma oleh semua pihak berkepentingan.
Pelancaran data harga purata UCO itu merupakan usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh mekanisme penemuan harga serta mengurangkan ketidaktentuan dalam rantaian nilai industri sawit negara.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, paparan harga rujukan UCO berperanan sebagai penanda aras yang jelas dan diyakini, sekali gus menyokong pembangunan rantaian bekalan yang lebih telus dan inklusif.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh integriti pasaran UCO domestik, malah sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memacu ekonomi kitaran, dengan menjadikan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bernilai tinggi,” katanya.

Permintaan global SAF lonjak nilai UCO
Beliau berkata, bekalan UCO kini semakin mendapat perhatian di peringkat global sebagai sumber bahan mentah penting dalam penghasilan tenaga lestari seperti biodiesel dan bahan api penerbangan mampan (Sustainable Aviation Fuel, SAF), selain produk oleokimia.
Menurutnya, permintaan terhadap SAF dijangka meningkat ketara didorong komitmen industri penerbangan antarabangsa untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Permintaan SAF diunjurkan meningkat antara tiga hingga lima kali ganda menjelang 2030, sekali gus melonjakkan keperluan terhadap bahan mentah karbon rendah seperti UCO,” katanya.
Malaysia mempunyai potensi besar dalam bekalan UCO berikutan penggunaan minyak masak berasaskan sawit yang tinggi dalam sektor isi rumah serta perkhidmatan makanan, termasuk perusahaan katering dan peniaga makanan bergoreng.
Bagi isi rumah, pengumpulan UCO bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah berpotensi menjana pendapatan tambahan melalui jualan kepada pengumpul berlesen berdasarkan harga pasaran semasa.
Dari perspektif industri, UCO pula merupakan sumber bahan mentah strategik bagi penghasilan produk bernilai tambah tinggi yang semakin mendapat permintaan di pasaran global, selaras dengan peningkatan pelaburan dalam kapasiti biodiesel dan penapisan biobahan api di rantau ini.
Maklumat harga UCO di portal MPOB dijangka memberi manfaat kepada isi rumah dan pemain industri melalui penyediaan panduan harga semasa yang telus, pengurangan risiko manipulasi harga serta galakan kepada pengumpulan dan pengurusan UCO secara lebih sistematik dan bertanggungjawab.
Orang ramai boleh merujuk harga bulanan UCO melalui portal MPOB dengan membuat carian “Economics and Industry Development Division” atau melayari laman sesawang rasmi MPOB di https://bepi.mpob.gov.my/ dengan pendaftaran percuma. - DagangNews.com








