Harga minyak sawit mentah kekal di atas RM4,500 didorong permintaan biodiesel - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah kekal di atas RM4,500 didorong permintaan biodiesel - MPOC

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 April - Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka kekal melebihi RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat, disokong oleh permintaan biodiesel yang lebih kukuh, keadaan bekalan yang ketat serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata stok minyak sawit Malaysia susut 16.1 peratus bulan ke bulan kepada 2.26 juta tan pada Mac, apabila eksport mengatasi pengeluaran.

 

“Eksport meningkat kepada 1.55 juta tan berbanding pengeluaran sebanyak 1.37 juta tan, didorong terutamanya oleh aktiviti ‘front-loading’ sebelum kenaikan kos penghantaran,” katanya.

 

MPOC memaklumkan eksport suku pertama meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun, dengan penghantaran mencatat pertumbuhan di kebanyakan rantau kecuali benua Amerika.

 

“Afrika Utara merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 94 peratus, diikuti Asia Selatan sebanyak 74 peratus serta Eropah Lain dan Asia Tengah sebanyak 47 peratus,” jelasnya.

 

Dari segi harga, MPOC berkata minyak sawit menjadi antara penerima manfaat utama perkembangan terkini dalam pasaran minyak sayuran global.

 

“Harga minyak sawit dan minyak kacang soya Amerika Syarikat meningkat 15 hingga 16 peratus sehingga pertengahan April, disokong oleh permintaan biodiesel yang lebih kukuh dan harga tenaga yang tinggi,” katanya.


 

MPOC

 


Mandat biodiesel serantau terus ketatkan bekalan

MPOC menjelaskan, dasar biodiesel di negara pengeluar utama dijangka terus mengehadkan bekalan di pasaran global.

 

“Peningkatan permintaan minyak sayuran untuk campuran biodiesel akan mengurangkan bekalan untuk eksport, sekali gus terus menyokong harga,” katanya.

 

Menurutnya lagi, dasar domestik yang lebih kukuh di peringkat serantau turut menyerap lebihan bekalan.

 

“Malaysia memerlukan tambahan 300,000 tan setahun di bawah mandat B15, manakala Indonesia mungkin memerlukan sehingga 3 juta tan setahun sekiranya pelaksanaan penuh B50,” jelasnya.

 

MPOC turut menekankan risiko dari segi bekalan termasuk faktor cuaca dan geopolitik yang boleh mempengaruhi pengeluaran.

 

“Risiko El Nino yang semakin muncul dan penurunan taburan hujan sejak pertengahan Mac boleh menjejaskan pengeluaran, manakala gangguan infrastruktur tenaga di Timur Tengah berpotensi mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi,” katanya.

 

Tekanan permintaan global dan faktor makroekonomi hadkan kenaikan harga

Bagaimanapun, majlis itu memberi amaran bahawa kenaikan harga selanjutnya mungkin terhad.

 

“Permintaan boleh terbatas akibat pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, tekanan inflasi di pasaran utama pengimport serta peningkatan stok apabila pengeluaran memasuki fasa puncak bermusim,” katanya.

 

Walaupun berdepan kekangan tersebut, MPOC mengekalkan pandangan bahawa asas pasaran semasa masih mencukupi untuk menyokong harga CPO dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com