Harga minyak sawit mentah diunjur kekal lemah kurang RM4,050 setiap tan pada 3QFY25, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur kekal lemah kurang RM4,050 setiap tan pada 3QFY25, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Julai — Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur masih lagi kekal lemah di pasaran komoditi menjelang suku ketiga pada tahun ini, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berkemungkinan berlegar antara RM3,800 dan RM4,050 setiap tan metrik disebabkan terutamanya oleh faktor tahap pengeluaran yang lebih tinggi secara bermusim.

 

Perkembangan berkenaan katanya, turut disokong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan, dan kekurangan aktiviti penyimpanan semula didorong oleh permintaan pengguna ketika sambutan beberapa perayaan.

 

"Selain itu, daya maju ekonomi yang lemah bagi pengadunan biodiesel berikutan penyebaran minyak sawit dan gas (POGO) dengan meluas secara berterusan" kata HLIB Research dalam nota kajiannya.

 

Ketidaktentuan berterusan yang menyelubungi dasar perdagangan dijangka mengekang permintaan jangka pendek bagi MSM, sekali gus mengehadkan sebarang kenaikan bermakna dalam harga komoditi tersebut.

 

Tambah firma berkenaan, harga MSM sebenarnya telah turun sekitar 19 peratus sejak awal 2025, kerana dikenal pasti tertekan oleh keadaan bekalan yang lebih kukuh dengan permintaan lemah di pasaran.

 

HLIB Research berkata, penyusutan permintaan itu pula sebahagiannya didorong oleh premium harga MSM berbanding minyak sayuran lain pada suku pertama tahun itu, sehingga menjejaskan minat pembelian.

 

“Sebaliknya, Indeks Perladangan Kuala Lumpur mencatatkan penurunan lebih sederhana sebanyak 5.2 peratus dalam tempoh yang sama, mengatasi prestasi FBMKLCI sebanyak 2.1 mata peratusan," katanya.

 

Situasi itu tambahnya, menunjukkan pelabur menetapkan harga normalisasi MSM, manakala ketiadaan tema pelaburan baharu menarik dalam KLCI menyebabkan minat berterusan dalam sektor perladangan.

 

Menurut HLIB Research, harga MSM dijangka bertambah baik pada suku keempat 2025 Tinjauan positif ini didorong oleh beberapa faktor, termasuk permulaan pengeluaran yang rendah secara bermusim.

 

Keadaan berkenaan diramalkan dari September atau Oktober 2025, dengan jangkaan kejelasan mengenai perkembangan dasar perdagangan, dan kebimbangan terhadap isu kemampanan pengeluaran minyak sawit.

 

"Kesemua masalah ini berpunca daripada tahun penanaman semula tidak cukup dan penanaman baharu terhad, yang mungkin menjejaskan hasil dan seterusnya, membantu menyokong harga MSM," katanya.

 

Berdasarkan situasi tersebut, HLIB Research membuat semakan menaik kepada unjuran harga purata MSM dan turut melakukan perubahan dalam andaian keluaran buah tandan segar yang lebih positif.

 

Ia juga tambahnya, meningkatkan ramalan pendapatan untuk syarikat-syarikat perladangan di bawah liputan firma berkenaan sebanyak antara satu peratus kepada 23 peratus. - DagangNews.com