KUALA LUMPUR 9 Jun - Harga minyak mentah dijangka terus lemah dan mungkin jatuh di bawah paras RM274 setong ekoran bekalan berlebihan dan permintaan global yang kurang memberangsangkan, menurut MIDF Research.
MIDF Research berkata, walaupun stok minyak dunia terus meningkat, harga dijangka stabil dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, ketidaktentuan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China masih menjadi risiko utama kepada pasaran.
MIDF Research juga menjangka harga gas asli dan gas asli cecair (LNG) akan pulih selepas kerja penyelenggaraan kemudahan gas global berakhir pada Mei 2025.
"Harga minyak bagaimanapun mungkin terus turun kerana projek cari gali baharu, tetapi situasi ini boleh menguntungkan sektor penyimpanan minyak, kapal tangki jangka panjang dan jualan runcit bahan api," katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, MIDF Research menjangka harga minyak Brent akan kekal antara RM254.22 hingga RM275.41 setong, dengan purata sekitar RM262.69 setong pada bulan ini.
Ramalan berkenaan dibuat berdasarkan peningkatan simpanan minyak dan ketidaktentuan selepas penangguhan Tarif Perdagangan AS.
Sementara itu, kerjasama antara negara ASEAN dijangka memberi sinar positif kepada sektor minyak dan gas (O&G).
Firma penyelidikan tersebut berkata, Petronas masih giat menjalankan aktiviti cari gali dan pengeluaran dalam sektor huluan walaupun harga minyak rendah.
Bahagian pertengahan dan hiliran pula dijangka memberi tumpuan kepada rumusan tenaga hijau dan kelestarian.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berakhir bulan lalu, aspek logistik LNG serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) turut diberi penekanan sebagai keutamaan serantau.
Projek tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen juga dijangka digabungkan bersama pembangunan O&G tradisional, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang diumumkan oleh kerajaan.
MIDF Research turut menjangka kerjasama antara negara serantau akan terus berkembang dalam aspek keselamatan tenaga, pengurusan kredit karbon, pematuhan alam sekitar dan rumusan CCS.
Menurutnya, permintaan dalam negara yang kukuh dan peningkatan eksport LNG dijangka terus menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.
Secara keseluruhan, MIDF mengekalkan penilaian 'neutral' terhadap sektor itu kerana ia masih berdepan cabaran, terutamanya ketidaktentuan harga minyak global akibat peningkatan pengeluaran oleh negara OPEC+, pengeluar bukan OPEC, serta permintaan yang lemah disebabkan ketidaktentuan tarif perdagangan. - DagangNews.com








