Harga emas `meletup', keuntungan Poh Kong melonjak 60% kepada RM48 juta pada 2QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga emas `meletup', keuntungan Poh Kong melonjak 60% kepada RM48 juta pada 2QFY2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Poh Kong Holdings Bhd mencatat lonjakan keuntungan bersih sebanyak 60.6% kepada RM47.54 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2026 (2QFY2026), berbanding RM29.60 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, prestasi itu didorong peningkatan permintaan terhadap produk pelaburan emas serta lonjakan harga emas global.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 15% kepada RM528.84 juta daripada RM459.51 juta sebelum ini, manakala margin keuntungan kasar mengukuh kepada 24.96% berbanding 21.68% setahun lalu.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan bersih Poh Kong meningkat kepada RM87.15 juta berbanding RM50.94 juta sebelumnya, dengan hasil melonjak kepada RM968.77 juta daripada RM788.79 juta.

 

Harga emas lonjak untung operasi

Menurut kumpulan itu, peningkatan hasil sebanyak RM69.32 juta dalam suku dikaji sebahagian besarnya disumbang oleh permintaan lebih tinggi terhadap produk pelaburan emas di samping kenaikan harga emas sepanjang tempoh tersebut.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi suku berkenaan meningkat kepada RM62.78 juta daripada RM37.83 juta sebelumnya, manakala keuntungan operasi melonjak kepada RM65.85 juta berbanding RM40.22 juta.

 

Perbandingan suku ke suku juga menunjukkan momentum positif apabila hasil meningkat 20% daripada RM439.94 juta pada suku pertama kepada RM528.84 juta, manakala keuntungan selepas cukai naik 20% kepada RM47.54 juta.


 

solar

 


Inventori meningkat, aliran tunai operasi negatif

Dari sudut kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM1.47 bilion setakat 31 Januari 2026 berbanding RM1.25 bilion pada 31 Julai 2025, disumbang terutamanya oleh peningkatan inventori kepada RM1.19 bilion daripada RM978.59 juta.

 

Bagaimanapun, aliran tunai daripada aktiviti operasi mencatat penggunaan bersih RM4.40 juta berbanding aliran masuk RM22.22 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan peningkatan inventori sebanyak RM214.51 juta.

 

Tunai dan setara tunai bagaimanapun meningkat kepada RM40.53 juta berbanding RM35.70 juta pada awal tempoh.

 

Prospek positif disokong trend emas

Poh Kong berkata industri barang kemas emas Malaysia menunjukkan pertumbuhan kukuh dan daya tahan pada 2025, didorong permintaan domestik dan antarabangsa.

 

“Kami menjangkakan trend kenaikan harga emas akan berterusan hingga 2026, disokong pembelian oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna serta aliran pelaburan selamat di tengah ketidaktentuan geopolitik global,” katanya.

 

Kumpulan itu menambah akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa terhadap operasi, di samping mengekalkan disiplin kewangan dan menilai prestasi secara berterusan.

 

Lembaga pengarah kekal yakin kumpulan telah melaksanakan langkah sewajarnya untuk menghadapi cabaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.

 

Tiada dividen diisytiharkan bagi suku dalam semakan tersebut. - DagangNews.com