Handal Energy tubuh syarikat usaha sama dengan BumiRaya teroka pasaran perkhidmatan kren luar pesisir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Handal Energy tubuh syarikat usaha sama dengan BumiRaya teroka pasaran perkhidmatan kren luar pesisir

Taha Sheikh Mohammad bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Eksekutif Handal Energy, Xu Tiantian, semasa majlis menandatangani perjanjian.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Mac - Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Handal Energy Bhd, membentuk syarikat usaha sama (JV) dengan BumiRaya Petroleum Sdn Bhd bagi meneroka pasaran perkhidmatan kren luar pesisir tempatan dan serantau.

 

Handal akan memegang 60% pegangan dalam syarikat usaha sama itu manakala BumiRaya memiliki baki 40%.

 

“Kerjasama ini bertujuan menggabungkan kekuatan kewangan serta asas teknologi Handal sebagai syarikat tersenarai dengan keanjalan BumiRaya dalam perkhidmatan kejuruteraan profesional dan pengembangan pasaran,” kata Handal dalam satu kenyataan.

 

Menurut Handal, terdapat kira-kira 420 kren luar pesisir di rantau ini ketika ini, yang masing-masing memerlukan perkhidmatan penyelenggaraan, sekali gus menunjukkan prospek pasaran yang sangat luas.

 

Melangkah ke hadapan, dengan harga minyak dijangka kekal tinggi dalam beberapa tahun akan datang, Handal dan BumiRaya optimis terhadap pertumbuhan tempahan.

 

Kedua-dua pihak percaya usaha sama itu mampu menyepadukan sumber dengan lebih berkesan, sekali gus menyediakan penyelesaian sehenti merangkumi naik taraf kren (seperti kemas kini sistem hidraulik dan elektrik) hingga kepada pajakan kren, bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan susulan pemulihan industri minyak dan gas.

 

Pengarah Urusan BumiRaya, Taha Sheikh Mohammad berkata, syarikat itu baru-baru ini menyiapkan projek kren bernilai RM1 juta daripada Petra Energy Bhd dan kini mempunyai 63 kontrak berpotensi seumpamanya yang akan dipindahkan kepada usaha sama tersebut untuk pelaksanaan.

 

Ditubuhkan pada 2012, BumiRaya memiliki 12 lesen operasi Petronas. Syarikat itu memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan teknikal khusus termasuk pengurusan projek bagi kren pedestal luar pesisir dan peralatan pengangkatan.

 

BumiRaya juga merupakan ejen serantau bagi Ulo Systems, Hutchinson Techlam SAS dan Globaltech Systems Engineering Pte Ltd (anak syarikat kepada KS Energy Services Ltd yang tersenarai di Singapura).

 

Sementara itu, Handal mempunyai pengalaman luas dalam industri kren luar pesisir, meliputi pembuatan, pengubahsuaian, pembaikan, pajakan serta perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).

 

Ketika ini, Handal memiliki 15 kren yang sedia untuk operasi segera bagi menyokong pelbagai platform luar pesisir. - DagangNews.com