KUALA LUMPUR 4 Dis - Haily Group Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan apabila anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd., menerima Surat Anugerah (LA) bernilai RM42.85 juta bagi projek pembinaan perumahan di Bandar Putra, Mukim Senai, Kulai, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dianugerahkan oleh DC Architects Sdn. Bhd. bagi pihak pemaju Nice Frontier Sdn. Bhd., melibatkan pembinaan dan penyiapan dua fasa projek kediaman bertanah di Zon 3A01, Parcel 5.
Projek Dua Fasa Bernilai Tinggi
Di bawah Fasa 1, Haily akan membina 91 unit rumah teres dua tingkat (20’ x 70’) di PTD 116289 – PTD 116379, dan 1 unit pencawang dwi-bilik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PTD 115323.
Sementara Fasa 2 pula merangkumi 96 unit rumah teres dua tingkat (20’ x 70’) di PTD 116193 – PTD 116288.
Projek ini dijadualkan bermula pada 15 Disember 2025 dan disiapkan dalam tempoh 15 bulan, iaitu sehingga 14 Mac 2027.
Menurut kenyataan itu lagi, semua kerja pembinaan di bawah kontrak ini diwajibkan mematuhi Standard Kualiti IOI, manakala penilaian kualiti akan dibuat berdasarkan piawaian CIS 7:2021, iaitu sistem penilaian oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Haily Group menjelaskan penerimaan kontrak ini tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat memandangkan tiada saham baharu diterbitkan.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah optimis kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek, dengan andaian tiada kelewatan material berlaku. - DagangNews.com








