Haily Group peroleh kontrak RM48.21 juta bina 113 rumah teres di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haily Group peroleh kontrak RM48.21 juta bina 113 rumah teres di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Haily Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd memperoleh kontrak berjumlah RM48.21 juta daripada Gunung Impian Development Sdn. Bhd bagi kerja pembinaan 113 unit rumah teres dua tingkat di Taman Impian Emas, Skudai, Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak tersebut melibatkan pembinaan rumah teres bersaiz 24 kaki x 80 kaki di Zon 10D4, Taman Impian Emas, Mukim Tebrau, Daerah Johor Bahru. 

 

“Projek berkenaan akan bermula pada 23 Februari 2026 dan dibahagikan kepada tiga bahagian utama.

 

“Dua bahagian awal meliputi pembinaan pencawang elektrik baharu, rumah contoh serta rumah pameran yang dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan, iaitu pada 22 Ogos 2026. 

 

“Bahagian utama projek pula melibatkan pembinaan 111 unit rumah teres dua tingkat bersama kerja-kerja infrastruktur dan landskap, yang disasarkan siap pada 22 Oktober 2027,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagi setiap bahagian projek, tempoh liabiliti kecacatan ditetapkan selama 26 bulan bermula dari tarikh Sijil Siap Praktikal dikeluarkan.

 

Menurut Lembaga Pengarah, kontrak tersebut tidak memberi kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan pemegang saham utama syarikat kerana tiada terbitan saham baharu terlibat. 

 

Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan Haily sepanjang tempoh pelaksanaan.

 

Haily Group turut memaklumkan tiada risiko ketara yang dijangkakan selain risiko operasi biasa dalam industri pembinaan.

 

Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.

 

Lembaga Pengarah berpendapat penerimaan kontrak tersebut adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan menyokong prospek pertumbuhan kumpulan dalam tempoh sederhana hingga panjang. - DagangNews.com