KUALA LUMPUR 23 Sept – Menghalang penebusan berulang kali dalam satu hari antara mekanisme dicadang bagi membendung penyalahgunaan subsidi bahan api RON95 apabila skim itu mula dilaksanakan pada 30 September ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan melaksanakan mekanisme khusus bagi mengurangkan kebocoran dan penyalahgunaan subsidi bahan api.
Katanya, mekanisme tersebut adalah sebahagian daripada sistem pemantauan yang akan mengesan penggunaan bahan api harian dan bulanan oleh rakyat yang layak.
“Kita ada mekanisme yang akan diperkenalkan untuk mengelakkan penebusan berlebihan dalam sehari. Ini sebahagian daripada sistem pemantauan yang memeriksa kekerapan penebusan dan jumlah penggunaan bulanan,” katanya kepada pemberita di Menara Hasil, Georgetown ketika merasmikan Jelajah Mega E-Invois peringkat nasional.

Amir Hamzah berkata langkah ini bertujuan menangani kebimbangan sesetengah pihak terutama yang mempunyai kuota lebih tinggi, yang mungkin cuba mengeksploitasi sistem dengan menjual semula subsidi bahan api kepada bukan warganegara atau kenderaan berdaftar luar negara.
Kerajaan semalam mengumumkan rakyat Malaysia yang layak akan menerima subsidi sehingga 300 liter RON95 sebulan, manakala pemandu e-hailing akan terus menikmati harga rata tanpa had.
Menjelas lanjut, Amir Hamzah berkata, pemandu e-hailing dan p-hailing boleh memohon kuota lebih tinggi tetapi tertakluk kepada pengesahan daripada syarikat masing-masing.
“Inisiatif ini mendapat sokongan daripada penyedia platform mereka untuk mengesahkan keperluan kuota tambahan. Dengan sistem ini, kita dapat mengesan rekod penebusan, termasuk kekerapan mengisi minyak dalam sehari dan jumlah penggunaan bulanan, yang boleh disahkan dengan syarikat,” tambahnya.
Menjawab persoalan sama ada stesen minyak sudah bersedia untuk pelaksanaan ini, khususnya berikutan pengalaman awal dengan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Amir memberi jaminan semua pihak memberi kerjasama penuh menjayakan pelaksanaan skim subsidi ini.
“Projek ini telah dirancang sejak lama dan banyak persediaan telah dibuat. Kerajaan utamakan kelancaran pelaksanaan ini. Kami telah bekerjasama rapat dengan syarikat minyak sejak akhir tahun lalu sehingga kini,” katanya.
Beliau menambah, semua syarikat minyak sudah mengesahkan kesediaan mereka dengan pemasangan mesin di stesen dan kebanyakannya telah mengaktifkan Terminal Pembayaran Luar (OBT) yang terletak berhampiran pam minyak.
“InsyaAllah, pada tahap ini, persediaan sudah mencukupi,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan wujud masalah kecil semasa pelaksanaan.
“Tiada sistem yang sempurna dan isu mungkin timbul. Saya harap orang ramai bersabar dengan pengenalan sistem baru ini.
"Mungkin sebilangan kecil akan menghadapi gangguan, tetapi kerajaan akan memastikan janji kami – harga subsidi RM1.99 seliter akan terus dipatuhi,” tambahnya. - DagangNews.com








