KUALA LANGAT 20 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai ke atas beliau terlebih dahulu.
“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada had tempoh jawatan yang dicadangkan itu akan berkuat kuasa serta-merta atau pada tarikh kemudian.
Sebelum ini, Anwar mencadangkan satu rang undang-undang (RUU) yang mengesyorkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini berkata RUU untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan peranan Peguam Negara (A-G) dan Pendakwa Raya (PP) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
Bacaan kedua bagi RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dijangka pada 3 Mac, manakala bacaan kedua RUU pemisahan peranan AG dan PP pada 2 Mac.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata tempoh sedekad adalah mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan dan dasar utama negara, sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi, Anwar berkata prinsip kerajaan adalah konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola.
“Apa pun salah laku, ada dakwaan, kita harus konsisten. Jangan kita pilih, sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka, kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.
“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya tuduh-menuduh tanpa bukti, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang seharusnya dimanfaatkan untuk ibadat, memperkukuh silaturahim dan bermaafan. - DagangNews.com








