GrabFood Malaysia kembali dengan Anugerah GrabFood 5-Star 2024 untuk meraikan restoran terbaik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GrabFood Malaysia kembali dengan Anugerah GrabFood 5-Star 2024 untuk meraikan restoran terbaik

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - GrabFood Malaysia sekali lagi mengadakan GrabFood 5-Star Awards 2024, sebuah acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada restoran-restoran terbaik yang berjaya memikat selera dan memenuhi kehendak jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara. 

 

Pada tahun ini, sebanyak 148 restoran bertaraf tinggi dalam enam kategori disenarai pendek, dengan pemenang dipilih berdasarkan penilaian, ulasan dan pilihan pengguna GrabFood di seluruh Malaysia.

 

Penggemar makanan kini boleh turut serta mengundi restoran kegemaran mereka mulai sekarang sehingga 5 Februari 2025. 

 

Pemenang anugerah yang mewakili kecemerlangan dalam industri makanan Malaysia, akan diumumkan pada 19 Februari 2025.

 

Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Jiong Jian Tan berkata, pihaknya mahu menjadi platform pilihan dalam pencarian makanan, sama ada melalui penghantaran atau di restoran, sambil mencipta peluang perkembangan untuk rakan niaganya. 

 

"Ciri-ciri penilaian dan ulasan adalah contoh terbaik bagaimana kami menambah nilai kepada pengguna dan rakan niaga, membantu pengguna mencari restoran baharu serta menyediakan peluang kepada rakan niaga untuk berhubung dengan pelanggan lebih ramai.

 

"GrabFood 5-Star Awards mencerminkan kerjasama kukuh yang kami bina dengan rakan niaga dan sokongan padu daripada pengguna.

 

"Ia bukan sahaja meraikan yang terbaik, tetapi juga memperlihatkan peranan budaya makanan Malaysia dalam menyatukan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi rakan niaga yang berjaya meraih tempat teratas tahun lalu, anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf usaha keras dan kualiti kerja mereka, tetapi juga menjadi menyokong kejayaan perniagaan.

 

Pemilik dan Pengarah Urusan The Container di Kuching, Kho Sing Hak, yang memenangi kategori Best Western Food tahun lalu berkata, pengiktirafan itu memberi kesan besar kepada perniagaannya, membolehkan pelanggan mengetahui tentang kewujudan mereka, sekali gus menarik pelanggan baharu. 

 

"Ia juga meningkatkan semangat pasukan kami, memotivasi kami untuk terus berinovasi dan memperbaiki perkhidmatan. Kami amat berterima kasih atas pengiktirafan ini dan peluang untuk berhubung dengan lebih ramai pelanggan," ujarnya.

 

Bagi pengasas Nasi Ayam Kee Chup di Johor Bahru, Haliza Halim, yang juga pemenang kategori Best Malaysian Food, beliau berterima kasih kepada Grab kerana menjadi platform untuk syarikatnya berkembang dan dikenali di seluruh Malaysia dan Singapura. 

 

"Penilaian lima bintang ini telah meningkatkan kepercayaan terhadap jenama kami, membantu kami mencapai lebih ramai pelanggan," jelasnya.

 

GrabFood 5-Star Awards 2024 bukan sahaja meraikan kecemerlangan rakan niaga di platform GrabFood, tetapi juga menonjolkan kerjasama kukuh dan minat bersama terhadap makanan yang mendefinisikan landskap kulinari Malaysia. 

 

Ketika rakyat Malaysia bersama-sama mengiktiraf dan meraikan tempat makan kegemaran mereka, inisiatif itu memperkukuhkan komitmen GrabFood untuk terus menyokong peniaga tempatan serta mempamerkan kekayaan budaya makanan negara.

 

GrabFood yang bermula sebagai platorm penghantaran makanan, kini turut menjadi pusat penerokaan kulinari apabila laporan Grab’s 2023 Food and Grocery Trends menunjukkan, sekitar 91% pengguna Malaysia menggunakan aplikasi Grab untuk mencari restoran dan kedai baharu yang belum pernah dicuba. 

 

Dengan ciri penilaian dan ulasan pengguna, ia memberikan kelebihan dan peluang besar kepada rakan niaga, memandangkan lebih 90% pengguna mengakui membaca ulasan dalam talian sebelum membuat keputusan.

 

Sejak memperkenalkan ulasan bertulis pada 2022, sebanyak 13.5 juta ulasan telah dikumpulkan di GrabFood. 

 

Sebelum ini, pengguna hanya boleh memberikan penilaian menggunakan skala satu hingga lima, namun kini mereka boleh berkongsi maklum balas bertulis, memberikan maklumat tambahan yang membantu rakan niaga memahami keutamaan pelanggan dan memperbaiki kualiti tawaran mereka.

 

Dengan menggunakan maklum balas tersebut, GrabFood menyediakan rakan niaga dengan alat digital intuitif dan layan diri yang menyokong pertumbuhan perniagaan. 

 

Pada 2023, lebih 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdaftar di platform Grab, membolehkan mereka menganalisis maklum balas pelanggan, menjejaki prestasi dan mengenal pasti peluang baharu untuk menarik serta mengekalkan pelanggan setia. 

 

Dengan gabungan pandangan pelanggan dan teknologi canggih, GrabFood terus menjadi rakan kepercayaan dalam mendorong kejayaan rakan niaga. - DagangNews.com