KUALA LUMPUR 15 Dis - Alphabet Inc, syarikat induk Google, dilaporkan telah menandatangani perjanjian tenaga solar di Malaysia dalam usaha gergasi teknologi itu mendapatkan bekalan elektrik bersih bagi menyokong operasinya di peringkat global, menurut laporan Bloomberg.
Google dikatakan akan membeli tenaga daripada sebuah ladang solar berkapasiti 30 megawatt yang dibangunkan oleh sebuah konsortium diterajui unit tempatan syarikat Jepun, Shizen Energy Inc, di Kedah, menurut individu yang mengetahui perkara tersebut.
"Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha negara Asia Tenggara berkenaan untuk membekalkan tenaga hijau kepada syarikat-syarikat korporat dan dijangka mula beroperasi pada 2027," kata individu berkenaan.
Menurut individu berkenaan, perjanjian itu menyerlahkan usaha firma teknologi global berkenaan untuk mengurangkan perlepasan karbon dalam operasi berintensifkan tenaga seperti pusat data.
Namun katanya, sebahagian besar Asia — di mana syarikat seperti Google, Microsoft Corp dan Amazon.com Inc mempunyai kehadiran besar — masih banyak bergantung kepada bahan api fosil.
Seorang pegawai Google sebelum ini berkata bahawa syarikat itu melihat rantau ini sebagai antara “bahagian dunia yang paling mencabar” untuk mengurangkan perlepasan karbon atau menyahkarbon operasinya.
Bagaimanapun jurucakap Google tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen mengenai perjanjian pembelian tenaga itu, manakala jurucakap Shizen Energy enggan mengulas.
Sementara itu, Malaysia menyasarkan 70% daripada kapasiti penjanaan elektriknya datang daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2050, meningkat daripada kira-kira 26% tahun lalu, menurut BloombergNEF.
Negara ini turut mengambil langkah untuk menarik pelaburan selaras dengan sasaran tersebut, termasuk menerusi Program Tenaga Hijau Korporat (Corporate Green Power Programme), di bawah mana perjanjian Google–Shizen ini dimeterai.
Perjanjian pembelian tenaga jangka panjang seperti antara Google dan Shizen telah menjadi alat utama bagi syarikat-syarikat ini untuk mencapai sasaran pelepasan karbon mereka, dengan menyediakan jaminan kewangan di rantau yang sering berdepan ketidaktentuan landskap kawal selia.
Projek di Malaysia ini merupakan perjanjian tenaga bersih terbaharu Shizen dengan firma teknologi. Syarikat itu menandatangani beberapa perjanjian tenaga boleh diperbaharui di Jepun dengan Microsoft pada Oktober lalu, dan sebelum ini pernah memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan Google bagi pusat datanya di wilayah Chiba, Jepun. - DagangNews.com








