KUALA LUMPUR 25 April - Bursa Malaysia Berhad mengesahkan log masuk yang gagal atau akses dan perdagangan yang tidak dibenarkan hanya melibatkan bilangan kecil akaun dagangan pelanggan daripada beberapa broker, dan bukannya `meluas' seperti yang dinyatakan oleh beberapa saluran berita.
Semasa penutupan pasaran, tidak terdapat laporan mengenai akses dan perdagangan yang tidak dibenarkan yang berlaku hari ini.
"Bursa Malaysia juga mengesahkan keteguhan dan keselamatan dagangan dan sistemnya tidak terjejas," kata bursa dalam kenyataan hari ini.
"Keutamaan Bursa adalah untuk memastikan pasaran boleh diakses dan teratur untuk semua peserta pasaran, kerana operasi berterusan pasaran adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dalam jangka panjang.
"Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terus bekerjasama rapat dengan yang pihak berkaitan untuk memastikan perlindungan pelabur serta pasaran yang adil dan teratur tidak dikompromi," katanya.
Dilaporkan pada petang Khamis bahawa beberapa broker telah memaklumkan kepada pihak bursa mengenai isu log masuk pelanggan yang gagal dan aktiviti perdagangan tidak dibenarkan melalui akaun yang terjejas.
Menurut sumber dalam industri pembrokeran saham, penggodaman itu kebanyakannya berasal dari luar negara, seperti yang ditunjukkan oleh alamat protokol internet (IP) yang berkaitan.
Akaun yang terjejas dilaporkan adalah akaun tanpa akses dagangan internet pra-kebenaran, bermakna transaksi untuk akaun ini biasanya memerlukan pelaksanaan melalui firma pembrokeran masing-masing.
Sumber itu berkata penggodaman itu kebanyakannya berlaku pada sistem firma pembrokeran, dan bukannya melalui kelayakan log masuk pelabur individu.
Difahamkan, insiden serupa tetapi berskala lebih kecil berlaku kira-kira enam minggu lebih awal, menyebabkan sumber itu membuat spekulasi bahawa penggodam mungkin telah menjalankan ujian sebelum melancarkan serangan yang lebih besar ini. - DagangNews.com








