Global Oriental jual 18 unit kedai di Pavilion Embassy bernilai RM35 juta kepada dua pembeli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Global Oriental jual 18 unit kedai di Pavilion Embassy bernilai RM35 juta kepada dua pembeli

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 JanGlobal Oriental Berhad melupuskan sejumlah 18 unit kedai runcit di Pavilion Embassy, Jalan Ampang di ibu negara dengan nilai keseluruhan RM35.0 juta kepada dua syarikat.


Penjualan hartanah berkenaan dilaksanakan menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, Exceed Concept Sdn Bhd (ECSB) dan Pedoman Ikhtisas Sdn Bhd (PISB) menerusi 18 perjanjian jual beli (SPA) berbeza.


Aset tersebut tambahnya, melibatkan unit kedai berstrata yang terletak di pembangunan bercampur, dengan pembelinya ialah EZT Property Management Sdn Bhd (EZTPM) dan Brillion Land Sdn Bhd (BLSB).


"Pelupusan ini meliputi 12 unit milik ECSB dan enam unit milik PISB yang dijual pada asas seperti mana keadaannya itu serta bebas sebarang bebanan," maklum Global Oriental kepada Bursa Malaysia.


Daripada jumlah pertimbangan tersebut, hasil itu akan dimanfaatkan untuk tujuan antaranya, RM11.7 juta sebagai kontra hutang sedia ada kepada syarikat berkaitan bagi perkhidmatan tertentu.


Sementara RM10.7 juta sebagai pembayaran balik pinjaman bank kepada AmBank (M) Berhad yang akan memberikan penjimatan faedah, manakala anggaran cukai yang perlu dibayar mencecah RM2.6 juta.


Sebanyak RM10.0 juta lagi hasil daripada penjualan itu jelas Global Oriental, digunakan sebagai modal kerja untuk projek pembangunan masa hadapan dan usaha niaga strategik jangka panjang.


"Langkah pelupusan ini diramal memberikan keuntungan bersih kira-kira RM7.4 juta kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026," jelas syarikat pengurusan pelaburan hartanah tersebut.


Selain itu katanya, ia merupakan peluang strategik bagi mencairkan nilai hartanah dan memperkukuhkan kunci kira-kira syarikat, di samping mengurangkan nisbah gear daripada 0.80 kali kepada 0.74 kali.


Lembaga Pengarah Global Oriental berpendapat bahawa cadangan pelupusan hartanah ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA.


Pavilion Embassy merupakan projek pembangunan bercampur yang siap sepenuhnya pada November 2023, meliputi suite korporat, kondominium, pangsapuri servis, dan lot runcit. - DagangNews.com