KUALA LUMPUR 1 Mei – Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap di Malaysia.
GLIC yang telah memenuhi komitmen kepada dasar gaji kehidupan wajar di mana semua pekerja tetap warga Malaysia kini memperoleh lebih daripada gaji kehidupan wajar bulanan, adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melaksanakan visi Ekonomi MADANI memerlukan pendekatan seluruh negara, dengan sektor korporat memainkan peranan utama.
"Langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar adalah langkah penting untuk 'menaikkan lantai', bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelaksanaan komitmen gaji kehidupan wajar adalah sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI yang memerlukan usaha bersinergi daripada GLIC sebagai pemangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia, dengan dua objektif “menaikkan siling” dan “menaikkan lantai”.
ARTIKEL BERKAITAN: Inisiatif GEAR-uP memanfaatkan kepakaran GLIC untuk memacu ekonomi Malaysia
Berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025, penanda aras gaji kehidupan wajar telah ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari 2025.
Panduan Belanjawanku, yang dibangunkan bersama oleh KWSP dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk taraf hidup yang baik.
Pendekatan gaji kehidupan wajar memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan yang melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup individu, termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan, dan mekanisme simpanan.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad berkata, sehingga kini, tiga daripada syarikat strategik PNB telah mengeluarkan Dasar Gaji Kehidupan Wajar, dan disasarkan semua syarikat strategik berbuat demikian menjelang 2026.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah komited untuk memimpin melalui teladan dan telah melaksanakan gaji kehidupan wajar dalam operasinya, sementara 10 daripada syarikat pegangan teras kami telah komited untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Sebagai penjaga amanah simpanan persaraan untuk lebih daripada 16 juta rakyat Malaysia, kami percaya tanggungjawab untuk memacu kecukupan pendapatan bermula dengan kami.
"Dengan memastikan semua pekerja memperoleh gaji kehidupan wajar, kami sedang memperkukuhkan misi organisasi untuk membina ekosistem persaraan yang berdaya tahan dan inklusif, yang bermula dengan gaji yang adil hari ini bagi memastikan pendapatan yang mencukupi pada hari esok," ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, sebagai penjaga dana pencen sektor awam terbesar di Malaysia, tumpuan KWAP bukan sahaja untuk memberikan pulangan kewangan yang mampan, tetapi juga menyokong mereka yang membolehkan penciptaan nilai jangka panjang KWAP.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, komitmen LTAT terhadap gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 mencerminkan misi berterusan kami untuk melindungi dan meningkatkan mereka yang berkhidmat untuk negara—sama ada pasukan beruniform mahupun tenaga kerja awam. - DagangNews.com








