George Kent tubuhkan GK SuperTech, fokus kepada teknologi tercanggih dan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

George Kent tubuhkan GK SuperTech, fokus kepada teknologi tercanggih dan AI

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb - Berikutan kejayaan George Kent (Malaysia) Bhd dalam mencipta teknologi bacaan meter automatik (AMR), kumpulan itu mengukuhkan lagi dalam komitmennya dalam bidang teknologi dengan menubuh anak syarikat milik penuhnnya, GK SuperTech Sdn Bhd. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, langkah strategik itu  menandakan peristiwa penting, menunjukkan komitmen George Kent terhadap teknologi tercanggih dan kecerdasan buatan (AI) dengan menyatukan perniagaannya dalam ruang ini di bawah GK SuperTech.

 

"Selepas 11 tahun kejayaan pembangunan dalaman AMR yang telah dikomersialkan, GK SuperTech akan memacu pelan hala tuju inovasi George Kent yang lebih luas. 

 

"Pertubuhan syarikat ini akan memberi kami peluang untuk memanfaatkan AI dan teknologi termaju lain bagi meningkatkan ketersambungan dan kecekapan merentasi industri," katanya.  

 

George Kent merancang untuk melabur dalam usaha ini termasuk sumber kewangan dan pasukan yang berdedikasi untuk mempercepatkan rancangan berteknologi tingginya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN:George Kent capai kejayaan dalam teknologi bacaan meter automatik

 

Dengan GK SuperTech menerajui kemajuan ini, George Kent bersedia untuk memanfaatkan peluang yang muncul dalam sektor teknologi tinggi yang memacu pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang.

 

Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, GK SuperTech menandakan lonjakan seterusnya dalam perjalanan teknologi tinggi kumpulan itu.

 

"Kami komited untuk merintis penyelesaian transformatif yang akan memacu inovasi, membentuk semula industri dan membina infrastruktur yang lebih bijak, lebih mampan untuk generasi akan datang.

 

"Ini akan menjadi salah satu penciptaan nilai terpenting bagi para pemegang saham kami dalam lapan dekad terakhir sejarah kumpulan," katanya.- DagangNews.com