Geohan menang kontrak RM103 juta projek sambungan Lebuhraya Pantai Baharu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geohan menang kontrak RM103 juta projek sambungan Lebuhraya Pantai Baharu 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 April - Geohan Corporation Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan tanah dan geoteknik dengan kemenangan ke atas dua kontrak subpakej bernilai RM103 juta bagi projek Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Highway Extension).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dianugerahkan oleh IJM Construction Sdn Bhd, kontraktor utama projek berkenaan, dengan Geohan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh syarikat itu, bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja berkaitan.

 

Bagi subkontrak pertama bernilai RM27.4 juta, Geohan akan melaksanakan kerja-kerja cerucuk caisson korekan tangan serta ujian cerucuk secara menyeluruh.

 

Subkontrak kedua pula, bernilai RM75.6 juta, melibatkan kerja-kerja bored piling dan penggerudian beredar songsang (reverse circulation drilling). Kedua-dua pakej ini dijangka siap dalam tempoh 19 bulan dari tarikh pelaksanaan.

 

Pengambilan projek baharu ini telah meningkatkan jumlah tempahan tertunggak Geohan kepada kira-kira RM460 juta, merangkumi pembangunan kediaman, pembangunan bercampur, infrastruktur serta industri di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Bahagian infrastruktur kini menjadi penyumbang semakin penting kepada portfolio syarikat, meningkat kepada kira-kira 30% daripada jumlah tempahan, berbanding 17.3% pada 31 Disember 2025.

 

Peralihan ini mencerminkan tumpuan strategik Geohan terhadap projek awam bernilai tinggi yang memberikan keterlihatan pendapatan lebih kukuh untuk tempoh dua tahun akan datang.

 

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, pihaknya amat menghargai kepercayaan berterusan daripada IJM Group yang telah terjalin sejak kira-kira 18 tahun lalu.

 

Menurut beliau, hubungan jangka panjang itu mencerminkan asas kerjasama yang kukuh serta keupayaan Geohan dalam menyediakan penyelesaian asas dan geoteknik berkualiti tinggi secara konsisten.

 

“Pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan sektor infrastruktur sebagai pemacu pertumbuhan utama syarikat,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa syarikat kekal proaktif dalam mengurus tekanan kos walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, dengan memanfaatkan jentera moden yang lebih cekap bahan api bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengekalkan disiplin kos.

 

Geohan berkata ia komited untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber sedia ada termasuk tenaga kerja berpengalaman dan aset jentera moden bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. - DagangNews.com