Genting Plantations berpotensi tunjuk prestasi lebih kukuh pada 2HFY25 — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Genting Plantations berpotensi tunjuk prestasi lebih kukuh pada 2HFY25 — Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Julai — Genting Plantations Berhad berpotensi merekodkan pendapatan hartanah yang lebih kukuh dari separuh kedua 2025 hingga 2026, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran positif berkenaan turut disokong teguh menerusi siri kejayaan pelancaran dan kemajuan pembinaan dalam pelbagai projek pembangunan utamanya di Johor.


Bahagian hartanah kumpulan itu juga berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan teguh antaranya melalui pembangunan perbandaran guna bercampur di Kulai dan Batu Pahat. 


"Perkembangan ini turut didorong oleh jualan tidak dibilkan dan sentimen pasaran positif yang kelaziman dikaitkan dengan inisiatif ekonomi serantau," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.


Tambah firma itu, keyakinan mereka juga dipengaruhi kemajuan pesat Genting Plantations di sekitar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang meningkatkan permintaan untuk pembangunan Kulai.


Ia menyatakan bahawa pendapatan hartanah yang boleh dilihat pada suku akan datang dijangka baik memandangkan pembangunan kediaman U.Reka di Kulai dan Genting Industrial City (GIC) di Batu Pahat.


Kedua-duanya itu kata Maybank IB, sedang berkembang positif dan menikmati kadar pengambilan kukuh serta disokong oleh faktor jualan belum dibil yang tinggi sebanyak RM157 juta pada 31 Mac 2025.


"Ini adalah 1.2 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil pada 2024 dan kami percaya kejayaan ini akan dicerminkan dalam peningkatan pendapatan hartanah pada 2HFY25 dan tahun depan," katanya.


Genting Plantations memajukan U.Reka berperingkat selama 10 tahun dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.5 bilion yang meliputi 2,611 unit di atas tanah pegangan bebas seluas 124 hektar.


Sementara itu, pembangunan GIC di bawah perbandaran Genting Pura Kencana juga mendapat tarikan kukuh dengan mencatatkan kadar penggunaan purata 82 peratus, tidak termasuk bagi unit bumiputera.


Projek GIC telah dilancarkan akhir tahun lepas dengan anggaran GDV sebanyak RM260 juta meliputi pembangunan kilang teres, berkembar dan berkembar yang berharga antara RM770,000 dan RM3.7 juta.


"Kami menjangkakan sumbangan daripada U.Reka dan GIC memberi impak positif kepada keuntungan kumpulan itu dengan ramalan RM141 juta tahun ini dan RM147 juta tahun depan," kata Maybank IB.


Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Genting Plantations dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM6.89 sesaham menurut nisbah harga-pendapatan 19 kali ganda 2025.


Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko anomali cuaca, harga lemah minyak sawit mentah dan dasar kerajaan yang tidak menentu mungkin menjejaskan segmen teras minyak sawit. - DagangNews.com