KUALA LUMPUR 5 Feb - Ge-Shen Corp Bhd akan menjual tanah seluas 1.86 hektar di Johor Bahru, yang dilengkapi dengan pejabat, gudang dan kilang dengan harga RM35 juta secara tunai.
Anak syarikat milik penuhnya, Ge-Shen Plastic (M) Sdn Bhd, telah menandatangani surat niat yang mengikat dengan Plastico Sdn Bhd untuk penjualan lima bidang tanah tersebut.
Ge-Shen berkata, pertimbangan penjualan RM35 juta itu mewakili diskaun sebanyak 8.57% berbanding nilai pasaran tanah yang berjumlah RM38.28 juta, yang dinilai oleh Irhamy Valuers International Sdn Bhd pada November 2023.
Katanya, Plastico adalah pengeluar komponen dan bahagian plastik.
Pemegang sahamnya terdiri daripada Teo Gee Lian dengan pegangan 55%, Too Siau Chen dengan 30% dan Teo Gee Teck dengan 15%.
"Syarikat menjangkakan keuntungan pro forma sebanyak RM14.26 juta daripada jualan tanah tersebut.
"Hasil daripada penjualan tanah itu akan digunakan untuk membayar pinjaman yang berkaitan dengan hartanah berkenaan serta untuk membiayai modal kerja kumpulan," menurut pengisytiharan yang difailkan kepada Bursa Malaysia.
Ge-Shen berkata, penggunaan hasil itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aliran tunai masa depan kumpulan apabila ia direalisasikan dan pembayaran balik pinjaman bank membolehkan syarikat mengurangkan nisbah hutang terhadap ekuitinya.
"Selain itu, syarikat juga boleh menyelaraskan operasi kumpulan dengan meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan penggunaan aset yang dimiliki oleh kumpulan," tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ge-Shen, Adrian Foong Hong Nian dalam satu kenyataan berasingan berkata, langkah itu membolehkan kumpulan menyelaraskan operasi dan menggabungkan kemudahan pengeluarannya, meningkatkan kecekapan dan pengagihan sumber.
"Hasil daripada transaksi ini membolehkan kami melabur semula dalam bidang berkeutamaan tinggi yang memacu inovasi dan kecekapan," katanya.
Jualan tanah tersebut dijangka selesai pada suku ketiga 2025.
Syarikat itu juga berhasrat mengukuhkan daya saingnya dalam industri berpotensi tinggi seperti elektronik, peranti perubatan dan pembuatan komponen industri. - DagangNews.com








