GE Aerospace rancang perluas operasi di Malaysia, Asia Pasifik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GE Aerospace rancang perluas operasi di Malaysia, Asia Pasifik

Gambar/GE Aerospace

KUALA LUMPUR 19 Mei - GE Aerospace merancang untuk mengembangkan operasi di Malaysia dan Asia Pasifik untuk memperkuat keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO) bagi memenuhi permintaan penerbangan global yang semakin tinggi.

 

Naib Presiden Jualan GE Aerospace untuk Asia Pasifik, Nakul Gupta berkata, Malaysia tetap menjadi lokasi penting untuk syarikat, dengan kemudahan di Subang memainkan peranan utama dalam operasi serantau dan global.

 

"Ditubuhkan pada 1997 sebagai Pusat Kecemerlangan untuk enjin CFM56, kemudahan di Malaysia ini menjadi hab MRO yang penting, menyokong lebih 50 syarikat penerbangan di seluruh dunia.

 

"Ia juga kini berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan Asia untuk perkhidmatan MRO LEAP dan memiliki lebih 700 pekerja mahir," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

 

GE Aerospace adalah penyedia global enjin jet dan turboprop serta sistem bersepadu untuk pesawat komersial, tentera, perniagaan dan penerbangan am.

 

Beliau berkata, GE Aerospace turut merancang untuk meningkatkan kapasiti operasinya.

 

Pengembangan itu disokong oleh model operasi Flight Deck milik syarikat dan dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia.

 

Pada 2018, GE Aerospace melabur RM344.84 juta untuk menaik taraf kemudahan di Subang, yang membolehkan perkhidmatan MRO untuk enjin CFM LEAP diperkenalkan, yang juga pertama kali wujud di luar Amerika Syarikat.

 

Nakul dalam pada itu berkata, dengan permintaan yang semakin tinggi, syarikat bertekad untuk terus melabur dalam kemudahan dan pembangunan bakat.

 

Beliau menyatakan, syarikat berkenaan melabur RM193.48 juta di Asia Pasifik tahun lalu, sebagai komitmen untuk memperkukuh teknologi pembaikan dan mengurangkan masa penyelenggaraan.

 

"Pelaburan ini adalah sebahagian daripada modal global GE Aerospace sebanyak RM1.074 bilion untuk MRO dan pembaikan komponen pada tahun 2024, yang menyumbang kepada komitmen lima tahun bernilai RM4.30 bilion," tambahnya.

 

Nakul memaklumkan, dana berkenaan digunakan untuk memperluas kemudahan, meningkatkan keselamatan, serta membeli peralatan baharu untuk kemudahan di Singapura, Malaysia, Taiwan dan Korea Selatan.

 

Di Asia Tenggara, GE Aerospace juga mempunyai kemudahan di Singapura yang menyumbang lebih 60% daripada jumlah pembaikan global syarikat dan menjadi perintis dalam menggunakan teknologi pembuatan tambahan untuk membaiki komponen enjin jet.

 

"Teknologi tambahan membolehkan kami menyiapkan pembaikan 60% lebih pantas dan dengan ruang yang lebih kecil, pesawat boleh kembali beroperasi lebih cepat," kata Nakul.

 

Untuk menyokong permintaan yang terus meningkat, beliau berkata, syarikat itu terus meningkatkan kemahiran pekerjanya dalam teknologi penerbangan baharu seperti automasi, robotik dan pembuatan tambahan.

 

Dari segi kelestarian, beliau menambah, semua enjin GE Aerospace dan CFM disahkan boleh beroperasi dengan campuran bahan api penerbangan lestari (SAF) yang diluluskan, dengan 10 model enjin telah diuji menggunakan 100% SAF setakat ini.

 

"GE Aerospace juga bekerjasama dengan pengeluar bahan api, pengawal selia dan pembuat dasar untuk mempercepat penggunaan dan penurunan kos SAF," ujarnya. - DagangNews.com