GDB nafi wujud skim pelaburan 20% pulangan tahunan, nasihat pelabur elak dagangan spekulatif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GDB nafi wujud skim pelaburan 20% pulangan tahunan, nasihat pelabur elak dagangan spekulatif

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Feb – GDB Holdings Berhad (GDB) menafikan dakwaan mengenai kewujudan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tahunan 20% seperti dilaporkan dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh The Edge Malaysia bertarikh 16 Februari 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pihak Lembaga Pengarah selepas membuat pertanyaan sewajarnya dengan para pengarah dan pemegang saham utama, mengesahkan tiada sebarang skim pelaburan atau helaian terma seperti yang dilaporkan telah dikeluarkan, dibenarkan atau diedarkan.

 

“Lembaga ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung skim tersebut adalah tidak benar,” menurut pemakluman itu.

 

Sehubungan itu, pemegang saham dan pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti dagangan spekulatif melibatkan sekuriti syarikat.

 

GDB turut menegaskan bahawa pihaknya kekal komited terhadap operasi teras dan pelaksanaan pelan strategik sedia ada tanpa sebarang perubahan seperti yang digambarkan dalam laporan berkenaan.

 

Syarikat itu mengingatkan bahawa semua maklumat dan pengumuman rasmi korporat hanya disalurkan melalui platform Bursa Malaysia serta laman web rasmi kumpulan.

 

Dalam edisi mingguan minggu lalu, The Edge Malaysia yang memetik sumber serta dokumen, melaporkan beberapa pemegang saham utama baharu didakwa mengedarkan satu cadangan struktur pelaburan yang memerlukan komitmen minimum RM10 juta, dengan pulangan diselesaikan sepenuhnya melalui pemindahan saham menerusi urus niaga perniagaan langsung (DBT).

 

Ditubuhkan pada 2013, GDB terlibat dalam perkhidmatan pembinaan dengan memberi tumpuan kepada projek pembangunan kediaman bertingkat tinggi, komersial dan pembangunan bercampur sebagai kontraktor utama dan kontraktor kerja utama. - DagangNews.com