GDB Holdings peroleh penghakiman RM102.08 juta terhadap KSK Land berhubung projek 8 Conlay | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GDB Holdings peroleh penghakiman RM102.08 juta terhadap KSK Land berhubung projek 8 Conlay

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Feb — GDB Holdings Bhd memperoleh penghakiman Mahkamah Tinggi yang memihak kepada anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), dalam tindakan undang-undang terhadap KSK Land Sdn Bhd yang kini dalam proses penggulungan, berhubung tuntutan bayaran bagi projek 8 Conlay.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, GDB memaklumkan mahkamah menganugerahkan sebanyak RM102.08 juta kepada GDBSB, bersama faedah lima peratus setahun ke atas RM93.39 juta sehingga penyelesaian penuh, selain kos sebanyak RM80,000.

 

Pertikaian tersebut berpunca daripada isu kelewatan pembayaran di bawah kontrak pembinaan bernilai RM1.25 bilion bagi pembangunan bercampur 8 Conlay, di mana GDBSB bertindak sebagai kontraktor utama.

 

Menurut kronologi kes, masalah pembayaran mula timbul pada 2022 apabila sejumlah bayaran tidak dijelaskan, mendorong kontraktor menggantung kerja-kerja serta memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut lebih RM120 juta bayaran tertunggak.

 

Selepas menerima bayaran sebahagian, GDBSB menyambung semula sebahagian kerja pada Januari 2023 dan menarik balik saman terdahulu dengan kebebasan untuk memfailkan semula. Namun, pertikaian kembali berlarutan pada April 2023 susulan kegagalan pembayaran satu ansuran.

 

Damai City Sdn Bhd kemudiannya menamatkan kontrak tersebut, menyebabkan GDBSB memfailkan saman baharu pada Mei 2023 bagi menuntut RM102.08 juta serta memulakan prosiding adjudikasi untuk mendapatkan bayaran tertunggak.

 

Pada Ogos 2024, keputusan adjudikasi memihak kepada GDBSB dengan anugerah sebanyak RM59.32 juta, manakala Mahkamah Tinggi pada April 2025 membenarkan perintah penguatkuasaan terhadap keputusan berkenaan.

 

Selain itu, prosiding adjudikasi terhadap Damai City bermula pada Oktober 2024, sementara GDBSB telah memfailkan petisyen penggulungan terhadap KSK Land pada Januari 2024 sebagai langkah mendapatkan semula bayaran tertunggak.

 

Secara berasingan, KSK Land turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan kebenaran mengadakan mesyuarat pemiutang untuk mempertimbangkan cadangan skim pengaturan serta perintah penangguhan selama tiga bulan. Permohonan itu secara automatik mencetuskan moratorium dua bulan terhadap prosiding tertentu. - DagangNews.com