KUALA LUMPUR 23 Jan — Gamuda Bhd kekal optimis untuk mencapai sasaran buku tempatan sebanyak RM50 bilion menjelang akhir 2026, disokong oleh saluran peluang projek infrastruktur yang kukuh dan pelbagai merangkumi pasaran tempatan serta antarabangsa, menurut Affin Hwang Investment Bank Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata, setakat akhir 2025, buku tempahan Gamuda berada hampir pada paras rekod sekitar RM45 bilion, hasil kejayaan memperoleh beberapa kontrak utama.
Antara penyumbang utama termasuk kerja-kerja sivil bagi LRT Mutiara Line Pulau Pinang serta projek infrastruktur antarabangsa, yang telah meningkatkan buku tempahan kumpulan daripada sekitar RM38 bilion sebelum ini.
Bagi merealisasikan sasaran RM50 bilion tersebut, Affin Hwang menganggarkan Gamuda perlu memperoleh kira-kira RM20 bilion kontrak baharu pada tahun kalendar ini, dengan andaian sekitar RM15 bilion bil kemajuan daripada projek sedia ada.
Keperluan ini mencerminkan strategi pengisian semula buku tempahan yang agresif serta kekuatan saluran projek kumpulan.
Saluran projek Gamuda merangkumi pelbagai segmen termasuk skim pemindahan air, projek rel dan pengangkutan, tenaga boleh diperbaharui serta kontrak pusat data di Malaysia, Australia, Singapura dan Taiwan, yang dijangka terus menyokong pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang.
Risiko jangka pendek hartanah
Namun begitu, Affin Hwang memberi perhatian kepada risiko jangka pendek dalam bahagian hartanah kumpulan.
Projek Quick Turnaround di Vietnam, yang merupakan pemacu utama kepada sasaran jualan kediaman RM5.5 bilion bagi FY2026, berdepan cabaran mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan.
Keadaan ini berpotensi melambatkan pelancaran projek atau pengiktirafan jualan.
Walaupun Gamuda mempunyai baki jualan hartanah belum dibilkan yang besar, isu masa pelaksanaan kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi prestasi jangka pendek.
Unjuran pendapatan disemak semula
Sehubungan itu, Affin Hwang telah menyemak semula unjuran pendapatan Gamuda. Firma tersebut menyatakan bahawa walaupun unjuran awal dan konsensus pasaran menjangkakan keuntungan bersih teras sekitar RM1.37 bilion bagi FY2026 dan RM1.71 bilion bagi FY2027, kemajuan bil kemajuan yang lebih perlahan serta kelewatan penganugerahan projek infrastruktur domestik bermargin tinggi, termasuk LRT Mutiara Line Pulau Pinang, dijangka menangguhkan peningkatan pendapatan.
Walaupun unjuran pendapatan diturunkan secara sederhana, Affin Hwang mengekalkan saranan BELI terhadap Gamuda, namun menurunkan harga sasaran kepada RM5.70, dengan mengambil kira buku tempahan yang tinggi, kedudukan kepimpinan domestik serta peluasan jejak serantau sebagai asas kukuh kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Menurut Affin Hwang, momentum pendapatan Gamuda dijangka kembali pulih apabila bil kemajuan bagi projek-projek yang baru dianugerahkan mula dipercepatkan. - DagangNews.com








