Gamuda, PKNPk bentuk usaha sama bangunkan infrastruktur air di Perak Utara bernilai RM5 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda, PKNPk bentuk usaha sama bangunkan infrastruktur air di Perak Utara bernilai RM5 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Julai — Gamuda Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dilantik Kerajaan Perak bagi membangunkan dan mengendalikan infrastruktur bekalan air di Daerah Kerian.

 

Projek kerajaan negeri berkenaan merupakan sebahagian daripada Skim Pembekalan Air Perak Utara (NPWSS), iaitu antara inisiatif strategik dengan jumlah anggaran nilai pembangunan RM5 bilion.

 

Skim tersebut bertujuan untuk menangani masalah kekurangan air yang sudah berpanjangan untuk aktiviti pengairan tanaman, kegunaan domestik dan kawasan perindustrian di wilayah berkenaan.

 

Berdasarkan syarat pelantikan itu, Gamuda dan PKNPk membentuk usaha sama (JV) yang kemudian akan melaksanakan projek pembangunan dan operasi infrastruktur pada asas konsesi minimum 40 tahun.

 

Sebagai sebahagian skop projek, JV bertanggungjawab membekalkan air terawat ke Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian yang akan datang, manakala lebihan air dijual ke negeri jiran Pulau Pinang.

 

"Skim NPWSS melibatkan pemindahan sebanyak 1,500 juta liter sehari (JLH) air mentah terus dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah," kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama.

 

Daripada jumlah ini, 500 JLH diperuntukkan untuk memenuhi keperluan pengairan segera Perak Utara, dengan bakinya akan dirawat dan disalurkan untuk kegunaan domestik dan industri di seluruh negeri.

 

Perjanjian penswastaan itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 90 hari dari tarikh pelantikan bagi memudahkan pelaksanaan skim berkenaan tepat pada masanya, yang disasarkan siap menjelang 2030.

 

Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering Sdn Bhd, Faris Mohd Yusof berkata, projek berkenaan namun masih lagi tertakluk kepada kelulusan daripada beberapa pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

 

"Ia menandakan satu langkah progresif ke arah merealisasikan strategi keselamatan air jangka panjang Perak Utara dan kami berbesar hati diberi peluang untuk membangunkan NPWSS," katanya.

 

Selain itu tambah beliau, syarikat tersebut komited untuk memastikan penyampaian air yang kritikal untuk negeri berkenaan dengan tumpuan kepada tenaga kerja tempatan dan pembangunan masyarakat.

 

Faris berkata bahawa projek itu mengesahkan kepakaran kumpulan itu dalam infrastruktur berkaitan air, merujuk projek terdahulu seperti Skim Bekalan Air Fasa 3 Sungai Selangor dan Terowong Smart.

 

Tambahnya, pengalaman luas Gamuda dalam pelbagai projek loji rawatan air, rangkaian pengedaran dan terowong meletakkan kumpulan itu dengan baik untuk menyampaikan infrastruktur penting.

 

Gamuda juga terlibat dalam pembangunan infrastruktur air utama yang lain termasuk Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak bernilai RM4 bilion, yang dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada 2026.

 

Kumpulan berkenaan turut terbabit dalam membangunkan Skim Bekalan Air Sungai Rasau Peringkat 1, bernilai RM1.97 bilion yang sedang berjalan dengan dijangka siap pada pertengahan 2025.

 

Di samping itu, ia juga memegang 75 peratus kepentingan dalam projek hidroelektrik Ulu Padas di Sabah, bernilai antara RM3 bilion dan RM4 bilion, yang dijangka siap pada awal 2025. - DagangNews.com