Gamuda peroleh kebenaran mulakan kerja-kerja pakej pertama LRT Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda peroleh kebenaran mulakan kerja-kerja pakej pertama LRT Pulau Pinang

Foto ihsan portal rasmi MRT Corp
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Gamuda Berhad menerima notis untuk memulakan kerja-kerja pakej pertama projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang daripada MRT Corp, kata sumber rapat dengan perkara itu.

 

Katanya, notis berkenaan dikeluarkan semalam, dan turut membuka ruang bagi Konsortium SRS, yang Gamuda memiliki 60 peratus kepentingannya, untuk dapat bergerak ke dalam pembinaan berskala penuh.

 

Kerja-kerja pembinaan awam tersebut meliputi jarak sepanjang 24 kilometer dari Komtar di George Town ke Pulau A di bawah Projek Pulau Selatan Pulau Pinang, dengan 19 stesen dan pelbagai kerja sokongan.

 

NTP berkenaan kata sumber itu, menandakan permulaan rasmi untuk kerja-kerja LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara yang sudah lama tertangguh, dan berdepan dengan banyak halangan besar selama bertahun-tahun.

 

Kontrak RM8.31 bilion telah diberikan pada Januari 2025, tetapi kerja ditangguhkan sehingga MRT Corp memberi kebenaran dalam bentuk NTP dengan tarikh akhir projek itu ialah enam tahun untuk disiapkan.

 

Kerajaan pusat telah mengambil alih projek LRT melalui MRT Corp daripada kerajaan Pulau Pinang pada Mac 2024 dan dijangka memberi perkhidmatan kepada 60,000 penumpang harian pada peringkat awalnya.

 

Konsortium SRS turut meliputi Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, masing-masing memegang 20% kepentingan, manakala MRT Corp, adalah pemilik aset dan pengurus projek.

 

Secara keseluruhan, Laluan Mutiara menjangkau 29.5 kilometer dengan 21 stesen, menghubungkan pulau tebus guna yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas ke Komtar.

 

Ia seterusnya melalui jambatan rentas Selat Pulau Pinang ke kompleks Penang Sentral di Butterworth. MRT Corp telah menambat kos penuh pada RM13 bilion, dengan penyiapan disasarkan menjelang 2031.

 

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebelum ini berkata, projek itu ada tiga pakej iaitu kerja awam di pulau, tanah besar, dan sistem turnkey yang menyelaras tender serta mengurangkan kelewatan. - DagangNews.com