Gamuda menang kontrak hampir RM1 bilion, bekal 23 trem tanpa wayar ke Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda menang kontrak hampir RM1 bilion, bekal 23 trem tanpa wayar ke Taiwan

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 Jun – Gamuda Bhd menerima kontrak hampir RM1 bilion bagi membekalkan 23 trem tanpa wayar kepada New Taipei City, Taiwan.

 

Trem model Urbos keluaran syarikat Sepanyol, Construcciones y Auxiliar de Ferrocarriles (CAF) akan digunakan di Laluan Xidong dan Keelung, menjadikan projek itu antara yang terawal di dunia menawarkan operasi trem moden sepenuhnya tanpa talian kuasa atas (catenary-free).

 

Menurut laman web CAF minggu lalu, projek Laluan Xidong sepanjang 5.6 kilometer dari Xizhi ke Donghu yang akan dikendalikan oleh Jabatan Sistem Transit Pantas bandar itu turut merangkumi penyediaan alat ganti, peralatan depot dan simulator latihan pemandu.

 

Di Taiwan, ia merupakan projek kedua trem tanpa catenary selepas pelancaran pertama oleh CAF di Kaohsiung pada 2015.

 

Ia dilengkapi kapasitor seperti bateri boleh dicas semula, yang membolehkan pengecasan pantas setiap kali berhenti untuk mengambil atau menurunkan penumpang.

 

CAF memaklumkan telah menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Gamuda bagi pembekalan trem dan sekiranya semua opsyen dilaksanakan, nilai kontrak boleh mencecah €200 juta (RM998 juta).

 

Gamuda kini mengetuai pasukan pelaksanaan projek bagi laluan itu melalui usaha sama dengan rakan kongsi Taiwan, MiTAC Information Technology Corp (15%), dan Dong Pi (10%), dengan kerja utama dijangka siap menjelang 2032.

 

Pada Oktober lalu, Gamuda mengumumkan New Taipei City telah menganugerahkan kontrak reka dan bina Laluan Xidong bernilai RM4.3 bilion kepada konsortium itu, merangkumi pembinaan enam stesen dan sebuah depot trem.

 

"Penganugerahan ini membuktikan keupayaan teknologi dan industri kedua-dua syarikat dalam melaksanakan projek pengangkutan berkeperluan tinggi serta mengukuhkan rekod prestasi.

 

"Ia turut memperkukuh kepercayaan pihak berkuasa Taiwan terhadap kami berdasarkan pengalaman dan kecekapan yang telah terbukti," kata CAF dalam satu kenyataan.

 

New Taipei City yang berpenduduk hampir empat juta orang merupakan majlis perbandaran terbesar di Taiwan, dan pembelian trem itu merupakan sebahagian daripada pelaburan infrastruktur lebih besar bagi memenuhi permintaan terhadap sistem pengangkutan rel yang semakin meningkat.

 

Setiap trem Urbos untuk Laluan Xidong dan Keelung mampu membawa sehingga 615 penumpang serta direka sepenuhnya mesra OKU bagi memastikan akses sejagat.

 

Di Autralia, penglibatan Gamuda dalam projek infrastruktur rel di New South Wales turut mencatat kemajuan ketara apabila dua mesin pengorek terowong Metro Sydney West berjaya menembusi gua persimpangan Metro Clyde, menandakan kerja pengorekan terowong metro berkembar sejauh 24 kilometer telah melepasi 80%.- DagangNews.com