KUALA LUMPUR 4 Sept – Dua nama besar dalam pembangunan hartanah dan pendidikan – Gamuda Land dan Taylor’s Education Group – telah memeterai satu kerjasama strategik untuk pembangunan semula tapak komersial utama seluas 1.17 hektar di SS15, Subang Jaya, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM500 juta.
Projek ini bakal memperkenalkan pembangunan bercampur yang merangkumi apartmen servis, penginapan pelajar khusus (PBSA), dan ruang runcit, sekali gus meremajakan nadi Subang Jaya serta memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap penginapan pelajar berkualiti tinggi.
Pembangunan ini menandakan satu langkah strategik buat Taylor’s Assets, cabang pelaburan hartanah kumpulan pendidikan tersebut, yang menyasarkan untuk memperkukuh kehadiran dalam sektor penginapan pelajar serta merancakkan pertumbuhan portfolio hartanah pendidikan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Taylor’s, Datuk Loy Teik Ngan berkata, tapak utama SS15 telah lama menjadi mercu tanda warisan Taylor’s.
"Pembangunan semula ini akan menambah 401 bilik ke dalam portfolio PBSA kami, sekali gus menambah keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pasaran dengan fleksibiliti dan pandangan jauh,” katanya dalam kenyataan.
Taylor’s menyasarkan untuk meletakkan tanda aras model PBSA tempatan setanding dengan pasaran antarabangsa seperti UK, AS dan Australia, dengan komitmen terhadap keselamatan, keselesaan dan komuniti pelajar.
Bagi Gamuda Land, projek ini menandakan peluasan peranan syarikat di luar pembangunan perbandaran teras ke dalam projek regenerasi bandar berskala terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan oleh Taylor’s untuk mengetuai pembangunan semula di lokasi ikonik itu.
"Projek ini memberi peluang kepada kami untuk menerapkan kekuatan dalam reka bentuk berfokus komuniti dan integrasi pintar ke dalam persekitaran bandar yang matang,” katanya.
Beliau menambah, dengan gabungan apartmen servis, PBSA dan ruang runcit yang dirancang rapi, pembangunan ini akan menyuntik semula kehidupan dan keterhubungan di tengah-tengah SS15.
Menjadi komponen utama pembangunan, menara penginapan pelajar (PBSA) akan dikendalikan oleh Taylor’s Hostel Management, pengendali penginapan pelajar yang telah memenangi pelbagai anugerah.
PBSA ini disasarkan untuk memenuhi keperluan pelajar tahun pertama serta pelajar antarabangsa, mengukuhkan kedudukan Subang Jaya sebagai hab pendidikan unggul negara.
Projek ini juga menyokong strategi jangka panjang Taylor’s untuk menjadikan PBSA sebagai teras pendapatan berulang, melalui kerjasama pelaburan yang cekap modal dan impak komuniti yang tinggi, bukan sahaja di Malaysia malah turut disasarkan ke pasaran serantau seperti Singapura dan Vietnam.
Pembangunan bercampur ini dijangka siap pada November 2029, dan akan membawa dimensi baharu kepada persekitaran SS15 — bukan sahaja dari segi estetika dan fungsi, malah sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti runcit dan perkhidmatan. - DagangNews.com








