KUALA LUMPUR 7 Feb - Gamuda Bhd berada pada kedudukan strategik bagi meraih lebih banyak projek infrastruktur berkaitan air pada masa hadapan, kata MIDF Research.
Katanya, perjanjian eksklusif terbaru kumpulan itu dengan Lembaga Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) untuk membangunkan Skim Pemindahan Air Mentah Sg Perak (SPRWTS) bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan air yang teruk di utara Perak.
Firma penyelidikan itu berkata, skim itu melibatkan pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Bukit Merah, dan membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk pengagihan air terawat, memastikan kelestarian air jangka panjang untuk wilayah itu.
MIDF Research positif terhadap perjanjian baharu itu dan menyatakan, butiran lanjut seperti perjanjian usaha sama rasmi (JV) dan pemberian kontrak dijangka pada peringkat seterusnya.
“Walaupun saiz projek masih tidak diketahui ketika ini namun kami memahami bahawa Gamuda jarang melaksanakan projek domestik di bawah RM1 bilion, oleh itu kami menjangkakan projek ini dapat menambah sebahagian besar buku pesanannya," katanya dalam satu nota kajian.
Buku pesanan tertunggak Gamuda kini berada pada paras tertinggi iaitu RM37 bilion, yang berada dalam sasaran pengurusannya sebanyak RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: PKNPk dan Gamuda tandatangani perjanjian tangani krisis bekalan air di Perak Utara
MIDF Research berkata, projek yang akan dating dijangka memberikan rangsangan tambahan kepada buku pesanan kumpulan yang kini merangkumi skim bekalan air di Sabah, dan potensi penukaran beberapa penglibatan awal kontraktor tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Australia dan kontrak pusat data.
Gamuda kekal menjadi pilihan utama firma penyelidikan itu bagi sektor pembinaan, disokong rancangan pembesaran luar negara yang berjaya, ketekalannya dalam merampas pekerjaan besar dan menjadi peneraju bagi kebanyakan projek mega di Malaysia.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM5.42 sesaham.
“Kami percaya adalah wajar memandangkan prospeknya yang semakin meningkat dalam ruang pembinaan dengan buku pesanan tertunggak yang tinggi sepanjang masa dan kemasukannya baru-baru ini ke dalam FBM KLCI,” katanya. - DagangNews.com








