Gajahsuria Power peroleh dana RM102.4 juta dari AmBank biaya projek solar di Kampung Gajah, Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gajahsuria Power peroleh dana RM102.4 juta dari AmBank biaya projek solar di Kampung Gajah, Perak

KUALA LUMPUR 22 April - Kumpulan AmBank menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM102.40 juta kepada Gajahsuria Power Sdn. Bhd. (GSP) bagi menyokong pembangunan projek Loji Solar Berskala Besar 5 (LSS5) berkapasiti 29.99 megawatt arus ulang alik (MWac) di Kampung Gajah, Perak.

 

GSP dimiliki secara bersama oleh Sun Energy Ventures Sdn. Bhd., BayWa re Energy Solutions Sdn. Bhd. dan Constant Energy Malaysia Holding Sdn. Bhd. (CEMH).

 

CEMH, entiti tempatan milik Constant Energy yang berpangkalan di Thailand, merupakan pemaju utama yang bertanggungjawab terhadap pembangunan keseluruhan projek serta operasi dan penyelenggaraan.

 

Dalam kenyataan bersama hari ini, bank itu berkata pembiayaan berkenaan akan digunakan terutamanya bagi membiayai modal kerja serta kos projek berkaitan pembangunan dan operasi loji solar fotovoltaik tersebut, yang dianugerahkan di bawah program LSS5 oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan menandakan pengembangan lanjut portfolio loji solar berskala besar GSP di Malaysia.

 

Dengan anggaran nilai projek RM128 juta, loji solar Kampung Gajah itu dijangka mula beroperasi pada Julai 2027.


 

Gajahsuria Power

 


Projek bantu kurangkan kebergantungan bahan api fosil

Kemudahan tersebut dijangka membantu mengurangkan kebergantungan Semenanjung Malaysia terhadap bahan api fosil di samping menyokong pembangunan sosial dan ekonomi setempat.

 

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap berkata, pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memajukan infrastruktur mampan serta menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

 

“Kami menantikan kerjasama dengan rakan strategik kukuh seperti Constant Energy dan konsortiumnya bagi memacu penyelesaian tenaga berimpak tinggi serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Constant Energy, Frank Constant berkata, kumpulan itu memberi tumpuan untuk menyiapkan serta mengendalikan projek tersebut pada standard yang tinggi.

 

Beliau berkata, pihaknya menghargai sokongan AmBank dalam menyediakan pembiayaan yang membolehkan projek LSS5 itu diteruskan mengikut perancangan.

 

“Bersama pasukan kami di Malaysia melalui CEMH serta rakan konsortium, kami komited untuk menyiapkan dan mengendalikan projek ini dengan cemerlang.

 

Constant Energy terus kembang portfolio serantau

“Dengan keupayaan tempatan yang kukuh serta pemahaman mendalam terhadap pasaran, kami kekal komited menyokong peralihan tenaga Malaysia dalam jangka panjang sambil terus mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

 

Ditubuhkan pada 15 Januari 2025, GSP ialah syarikat tujuan khas yang diwujudkan bagi melaksanakan keseluruhan skop projek merangkumi pembangunan, pembiayaan, reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji solar itu.

 

Beribu pejabat di Bangkok, Thailand, Constant Energy merupakan pemaju projek tenaga boleh diperbaharui serta Pengeluar Kuasa Bebas (IPP) yang semakin berkembang di rantau Asia Tenggara. - Bernama