Gadang Holdings jual tanah komponen Rumah Selangorku kepada Trans Loyal Development | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gadang Holdings jual tanah komponen Rumah Selangorku kepada Trans Loyal Development

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Dis – Gadang Holdings Berhad menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Crimson Villa Sdn Bhd (CVSB), telah memeterai Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Trans Loyal Development Sdn Bhd bagi melupuskan sebidang tanah pegangan bebas berkeluasan kira-kira 3.412 hektar pada harga tunai RM2.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tanah tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan Taman Akasia di Semenyih dan tertakluk kepada kewajipan membangunkan komponen Rumah Selangorku (RSKU) seperti yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

 

CVSB merupakan pemaju induk projek Taman Akasia.

 

Gadang menjelaskan harga pelupusan RM2.5 juta ditentukan berdasarkan prinsip willing buyer, willing seller, setelah mengambil kira nilai pasaran yang dinilai oleh CCO & Associates (KL) Sdn Bhd menerusi laporan bertarikh 11 Oktober 2025.

 

"Penilaian tersebut turut mengambil kira kewajipan RSKU, syarat-syarat Kebenaran Merancang serta kos pematuhan.

 

Trans Loyal akan memperoleh tanah ini semata-mata untuk tujuan membangunkan komponen RSKU yang telah diluluskan mengikut ketetapan Kerajaan Negeri dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)," kata kenyataan itu.

 

Gadang menegaskan tiada liabiliti — termasuk liabiliti berbangkit — yang akan kekal dengan kumpulan selepas pelupusan ini. Tiada jaminan turut diberikan kepada pembeli.

 

Katanya, cadangan pelupusan tertakluk kepada dua syarat terdahulu utama iaitu pembeli mendapatkan surat pelepasan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan LPHS untuk melepaskan Vendor daripada kewajipan membangunkan projek RSKU.

 

Pembeli juga perlu memperoleh pindaan Kebenaran Merancang (Amended DO) daripada MPKj untuk menaikkan kepadatan RSKU daripada kelulusan asal 605 unit kepada tidak kurang daripada 1,000 unit.

 

Semua kos dan caj berkaitan permohonan DO dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pembeli.

 

Katanya, pembeli diberi tempoh enam bulan daripada tarikh SPA untuk memenuhi syarat tersebut. Sekiranya gagal, pembeli boleh memohon lanjutan dua bulan atau satu tempoh lain yang dipersetujui bersama; atau menamatkan SPA dan menerima pemulangan deposit dalam masa 14 hari tanpa faedah.

 

SPA akan menjadi tidak bersyarat sebaik Vendor menerima semua surat pelepasan dan DO yang dipinda.

 

Pelupusan dianggap selesai selepas baki harga belian dibayar dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh SPA menjadi tidak bersyarat. - DagangNews.com