Gadang beli tanah RM75.5 juta di Tampoi untuk pembangunan bercampur GDV RM800 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gadang beli tanah RM75.5 juta di Tampoi untuk pembangunan bercampur GDV RM800 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 MacGadang Holdings Berhad mengambil alih sebidang tanah berstatus pegangan bebas di Tampoi, Daerah Johor Bahru, Johor dengan pertimbangan tunai mencecah RM75.48 juta.


Pembelian dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, City Version Sdn Bhd (CVSB), hari ini dengan memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Tanahmas Kapital Sdn Bhd (TKSB).


Kumpulan tersebut berkata, tanah berkeluasan 4.7 hektar ekar itu dibeli daripada TKSB yang merupakan anak syarikat milik penuh Ekovest Berhad pada harga kira-kira RM155 bagi setiap kaki persegi.


"Kami merancang projek hartanah bercampur di atas tanah berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta," jelas Gadang dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Tambahnya, komponen projek itu meliputi cadangan pembangunan Fasa 1 yang akan melibatkan 75 unit pejabat kedai, manakala Fasa 2 terdiri daripada dua menara pangsapuri servis setinggi 30 tingkat.


Lokasi aset itu juga strategik dan terletak di Jalan Tampoi, bersebelahan projek Jentayu Residensi dimiliki Gadang, serta berdekatan dengan kemudahan seperti Angsana Mall dan rangkaian lebuh raya utama.


Gadang memaklumkan yang sumber pembiayaan bagi urus niaga pengambilalihan hartanah tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman kumpulan berkenaan sendiri dan menerusi pinjaman bank.


"Langkah pembelian ini selaras dengan objektif syarikat mengembangkan simpanan tanah bagi usaha pembangunan masa hadapan, khususnya di Johor yang merupakan pasaran pertumbuhan utama," katanya. 


Negeri itu jelasnya, kekal sebagai pasaran utama yang didorong oleh kedudukannya hampir dengan Singapura serta disokong oleh inisiatif kerajaan seperti projek Sistem Transit Pantas (RTS) Link.


Pelbagai kemudahan yang terdapat di kawasan berkenaan tambah Gadang, dijangka berpotensi dalam meningkatkan lagi daya tarikan Johor sendiri kepada bakal pembeli rumah dan pelabur berminat.


Pembangunan bercampur di tanah tersebut katanya, akan dilaksanakan dalam masa tujuh tahun serta diunjur menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu sepanjang tempoh berkenaan.


"Sehubungan itu, tanpa kami mengambil kira sebarang halangan yang tidak dijangka berlaku, langkah pengambilalihan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini," katanya. - DagangNews.com