Frontken catat peningkatan untung bersih 28.2% kepada RM38.1 juta pada 4QFY24 dipacu permintaan kukuh segmen semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frontken catat peningkatan untung bersih 28.2% kepada RM38.1 juta pada 4QFY24 dipacu permintaan kukuh segmen semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Feb - Frontken Corp Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 28.2% kepada RM38.1 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding RM29.7 juta pada suku sama tahun lalu dipacu  permintaan kukuh dalam segmen perniagaan semikondustor serta minyak dan gas.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 14% tahun ke tahun kepada rekod tertinggi RM149.46 juta, berbanding RM131.49 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, hasil sumbangan lebih tinggi daripada anak-anak syarikat di Taiwan dan Malaysia.

 

"Volum dalam ruang semikonduktor terus berkembang berikutan permintaan yang lebih tinggi dan pesanan kukuh daripada pelanggan kami yang memanfaatkan anak syarikat Taiwan kami.

 

"Pada masa yang sama, perniagaan tempatan kumpulan itu juga mengalami tempahan yang lebih tinggi daripada pelbagai kontrak untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan peralatan berputar mekanikal," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Frontken juga mengakhiri FY24 dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM136.81 juta, meningkat 22% daripada RM111.95 juta pada FY23, didorong hasil yang lebih tinggi dan pengurusan kos lebih baik. 

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil terbaik tahunannya sebanyak RM569.21 juta pada FY24, meningkat 14% daripada RM500.15 juta pada tahun sebelumnya, hasil peningkatan prestasi daripada semua perniagaan terasnya.

 

Mengulas mengenai prospeknya, kumpulan itu menjangkakan permintaan global bagi semikonduktor akan kekal kukuh dalam jangka panjang dan akan terus berkembang, walaupun keadaan perniagaan mencabar di tengah-tengah ketidaktentuan global akibat perang perdagangan.

 

"Kumpulan itu melihat kemajuan pesat dan penggunaan teknologi inovatif baharu dan kami percaya ini akan terus meningkatkan permintaan untuk produk yang dihasilkan pelanggan semikonduktor kami.

 

"Melangkah ke hadapan, kami percaya semua perkembangan dalam ruang elektronik dan teknologi ini akan memberi kesan positif kepada perniagaan, terutamanya dengan kemunculan AI (kecerdasan buatan) dan AI generatif,” katanya.

 

Frontken juga percaya, perniagaan minyak dan gasnya akan terus berkembang pada 2025 kerana ia menjangkakan untuk melihat lebih banyak tempahan daripada pelbagai kontrak sedia ada untuk bekalan tenaga manusia dan bahan, pemulihan dan baik pulih mekanikal, serta perkhidmatan mekanikal. - DagangNews.com