KUALA LUMPUR 21 Jun – Syarikat penyedia sistem solar fotovoltaik Malaysia, Founder Group Limited (NASDAQ:FGL), menegaskan pemotongan secara berperingkat kredit cukai tenaga solar di Amerika Syarikat menjelang 2028 tidak akan memberi sebarang kesan terhadap operasi mahupun prestasi kewangan syarikat.
Founder Group yang memiliki modal pasaran sekitar AS$15 juta itu berkata, pendapatannya diperoleh sepenuhnya dari pasaran Malaysia dan tidak mempunyai sebarang operasi di AS, meskipun disenaraikan di Nasdaq dan dikelompokkan bersama saham syarikat solar Amerika.
"Walaupun kami disenaraikan di Nasdaq dan berdagang seiring dengan saham syarikat solar di AS, kami tidak akan terjejas dengan penghapusan kredit cukai tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutif Founder Group, Lee Seng Chi dalam satu kenyataan.
“Pendapatan kami sebahagian besarnya dijana daripada pasaran Malaysia, justeru kami tidak terkesan dengan perubahan yang dicadangkan menerusi rang undang-undang pemotongan cukai dan perbelanjaan oleh Presiden Donald Trump,” ujar Lee.
“Dalam masa terdekat, rancangan pengembangan kami hanya tertumpu kepada pasaran serantau di Asia Tenggara. Pengembangan ke pasaran Amerika Syarikat tidak termasuk dalam perancangan kami buat masa ini.”
Kenyataan itu adalah susulan kebimbangan pelabur terhadap cadangan panel Senat AS untuk menamatkan insentif cukai tenaga solar secara berperingkat sehingga 2028 sebagai sebahagian daripada rang undang-undang pemotongan cukai dan perbelanjaan yang dikemukakan oleh Presiden Donald Trump.
Saham Founder Group merosot 76% sepanjang tahun lalu berdasarkan data InvestingPro, dengan pendapatan terkini sebanyak AS$20.2 juta dalam tempoh 12 bulan terakhir – penurunan sebanyak 39% tahun ke tahun.
Founder Group memfokuskan kepada dua segmen utama: projek solar berskala besar serta pemasangan sistem solar komersial dan industri di Malaysia.
Menurut syarikat itu, pelan pengembangannya kekal tertumpu kepada pasaran Asia Tenggara, dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memasuki pasaran AS dalam masa terdekat.
Syarikat itu menyediakan penyelesaian penuh kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) (EPCC) bagi fasiliti tenaga solar, serta komited dalam mempromosi penggunaan sumber mesra alam dan mencapai neutral karbon.
Bagaimanapun, analisis InvestingPro menunjukkan skor kesihatan kewangan Founder Group berada pada tahap lemah, dan sahamnya kini dinilai terlebih harga berdasarkan model Fair Value proprietari.
Kontrak baharu RM12.3 juta, kerjasama ASEAN bernilai RM1 Bilion
Dalam perkembangan lain, Founder Group mengumumkan pemerolehan kontrak baharu bernilai kira-kira AS$2.6 juta (sekitar RM12.3 juta) bagi projek pemasangan sistem solar fotovoltaik di atas bumbung di Malaysia.
Projek ini merangkumi kerja-kerja reka bentuk, kejuruteraan, pemerolehan, pembekalan, penghantaran, pembinaan dan pentauliahan sistem tenaga solar tersebut. Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Selepas pembinaan, syarikat akan memeterai perjanjian operasi dan penyelenggaraan (O&M) yang boleh menjana manfaat selama 15 hingga 21 tahun. Founder Group menjangkakan margin keuntungan dua angka bagi kontrak ini, sekali gus membuka potensi kepada pendapatan berulang dan pertumbuhan margin yang mampan.
Dalam usaha memperkukuh kedudukannya di rantau ASEAN, Founder Group turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan GCL Systems Integration Technology bagi meneroka projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain. Nilai potensi kerjasama ini dianggarkan mencecah AS$220 juta (sekitar RM1 bilion), melibatkan projek tenaga solar dan penyimpanan tenaga.
Menurut syarikat, kedua-dua pihak akan menyumbang kepakaran teknikal, dan jika projek berjaya dimeterai, perjanjian terperinci akan disediakan bagi menjelaskan komitmen masing-masing.
Kerjasama ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang menetapkan sasaran 40% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035, dengan tenaga solar dijangka memainkan peranan utama dalam mencapai matlamat tersebut. - DagangNews.com








