KUALA LUMPUR 6 Mac - Pelancaran pelan strategik Forward30 diyakini mengekalkan daya saing CIMB Group Holdings Bhd dalam landskap operasi yang kekal mencabar, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, CIMB kekal fokus untuk memanfaatkan kedudukan sebagai bank terkemuka ASEAN bagi memacu pertumbuhan pendapatan rentas sempadan di rantau ini.
Firma penyelidikan itu berkata, strategi korporat baharu itu mengenal pasti empat tonggak utama pertumbuhan, yang dijangka membantu CIMB mencapai sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) jangka pendeknya antara 12% hingga 13% menjelang 2027 berbanding 11.2% pada masa ini.
"Bagi jangka panjang, CIMB berhasrat meningkatkan ROE menjadi antara bank teratas ASEAN menjelang 2030.
"Setelah mencapai kebanyakan sasaran Forward23+ berjaya dilaksanakan, CIMB melancarkan strategi korporat baharunya, Forward30," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: CIMB perkenal Forward30, pelan hala tuju strategik 6 tahun baharu
PublicInvest berkata, sasaran di bawah pelan hala tuju enam tahun baharu itu merangkumi peningkatan dalam nisbah CASA kepada 45% selain meningkatkan nisbah pendapatan bukan faedah (NOII) kepada antara 33% hingga 34%.
Katanya, mereka juga berhasrat menurunkan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) kepada rendah 40%, kos kredit menjadi normal kepada 46.7%, pengoptimuman CET1 sebanyak 13% hingga 14% dan pengembangan ROE kepada 12% hingga 13% menjelang 2027.
"Bagi mencapai matlamat itu, pihak pengurusan telah mengenal pasti 4C sebagai langkah strategik utamanya iaitu modal dan sumber (capital and resources), tunai (cash), jualan silang (cross selling) dan keupayaan (capabilities)," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, untuk modal dan sumber, CIMB mengenal pasti beberapa perniagaan pulangan rendah, dan merancang mengagihkan semula modalnya untuk memberi tumpuan mempercepatkan pertumbuhan dalam perbankan komersial (terutamanya PKS) di seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Katanya, seperti yang ditunjukkan dalam strategi yang diterajui depositnya yang kukuh, nisbah CASA CIMB meningkat daripada 35% pada 2019 kepada 43% pada 2024.
"Melangkah ke hadapan, CIMB merancang untuk menggandakan strategi diterajui depositnya sambil kekal berdisiplin pada penetapan harga asetnya untuk menurunkan kos dana sebanyak 10 hingga 20 mata asas," katanya.
PublicInvest berkata, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan faedah bersih, pihak pengurusan merancang untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan NOII.
Walaupun begitu, CIMB akan terus memanfaatkan kunci kira-kira dan hubungan pelanggannya dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang sejajar dan model liputan serantau.
"CIMB sedang berusaha meningkatkan kecekapan dalaman dan produktiviti selain melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi menyampaikan rumusan inovatif kepada pelanggan dengan masa transaksi yang lebih singkat. Semua ini akan disokong oleh pelaburan berterusannya dalam data dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.- DagangNews.com








