Foodie Media teroka peluang e-sukan, permainan video bersama WTM Media | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Foodie Media teroka peluang e-sukan, permainan video bersama WTM Media

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – Good Foodie Media Sdn Bhd, anak syarikat Foodie Media Berhad memeterai kerjasama strategik dengan WTM Media Sdn Bhd bagi membangunkan serta mengkomersialkan kandungan media digital generasi baharu yang memfokuskan kepada e-sukan dan permainan video.

 

Kerjasama ini menandakan kemasukan strategik Foodie Media ke dalam segmen e-sukan dan kandungan permainan digital yang sedang berkembang pesat, didorong oleh tahap penglibatan audiens yang tinggi, permintaan pengiklan yang kukuh serta trend penggunaan digital jangka panjang.

 

Menerusi kolaborasi ini, kedua-dua pihak akan berganding bahu untuk menghasilkan kandungan kreatif yang relevan dengan budaya e-sukan, di samping meneroka peluang komersial baharu dalam ekosistem permainan digital.

 

Perjanjian tersebut berkuat kuasa mulai 9 Februari 2026 untuk tempoh awal selama satu tahun, dengan pilihan lanjutan tertakluk kepada persetujuan bersama antara kedua-dua syarikat.

 

Gabungan kekuatan Foodie Media dari segi skala komersial, rangkaian pengiklan serta akses pasaran serantau dengan kepakaran WTM Media dalam penceritaan kandungan e-sukan dijangka membentuk platform media digital yang mampan dan berorientasikan pertumbuhan jangka panjang.

 

Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pembangunan format kandungan baharu serta peluang penjanaan pendapatan melalui kerjasama jenama, penajaan dan kempen digital bersepadu dalam landskap e-sukan dan permainan.

 

Foodie Media melihat potensi jangka panjang yang kukuh dalam visi, bakat dan hala tuju kandungan WTM Media, sekali gus membolehkan syarikat itu menyumbang panduan strategik serta sokongan pembangunan perniagaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Berhad, Nicholas Lim Pinn Yang berkata WTM Media merupakan jenama yang mempunyai daya kreativiti yang kuat serta hubungan rapat dengan budaya digital.

 

“Seiring usaha Foodie Media untuk terus berkembang, syarikat melihat peluang bermakna untuk memanfaatkan infrastruktur komersial dan capaian pasaran bagi menyokong rakan kerjasama yang mempunyai asas kreatif yang kukuh.

 

“Kerjasama ini bertujuan membina sebuah platform media yang bukan sahaja relevan dari sudut kreatif, malah berdaya tahan dari segi komersial dan mampu menjana nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Foodie Media Berhad merupakan kumpulan media digital berpangkalan di Malaysia dengan portfolio jenama gaya hidup yang mempunyai pangkalan pengikut gabungan terbesar di negara ini, merangkumi lebih 46 juta pengikut di pelbagai platform media sosial.

 

Kumpulan itu terlibat dalam penerbitan media digital, pemasaran pempengaruh, pemasaran drama filem pendek, perdagangan afiliasi serta perkhidmatan pengurusan kempen, dan mengendalikan lebih 37 jenama merentasi lima negara di Asia Tenggara. - DagangNews.com