KUALA LUMPUR 19 Nov - Foodie Media Bhd dijangka mencatat pertumbuhan kukuh hasil daripada pangkalan pengikutnya yang besar serta penawaran kandungan yang pelbagai, menurut penganalisis.
Platform media digital gaya hidup itu memiliki kira-kira 46 juta pengikut merentasi pelbagai saluran, dan meraih pendapatan melalui kandungan tajaan, komersial perdagangan afiliat, pemasaran influencer, perkhidmatan kempen serta penerbitan drama pendek.
Kenanga Research berkata, Foodie Media mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 32% bagi hasil untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) hingga FY24, dipacu terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam penjualan kandungan tajaan.
Dalam tempoh yang sama, syarikat merekodkan CAGR dua tahun sebanyak 10.3% bagi keuntungan teras meskipun berdepan tekanan margin akibat kos operasi yang lebih tinggi.
"Kami menjangkakan keuntungan teras sebanyak RM13 juta hingga RM14 juta masing-masing bagi FY25 dan FY26, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun (y-o-y) 75% dan 8%.
"Pertumbuhan ini bakal disokong oleh peningkatan hasil yang kukuh — 57% untuk FY25 dan 38% untuk FY26 — serta margin kasar yang bertambah baik di semua segmen," katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, bagi FY26, Kenanga mengunjurkan margin keuntungan sebelum cukai Foodie Media mengecil kepada 37% (FY25: 46%) susulan pertukaran campuran hasil daripada segmen kandungan tajaan kepada komers perdagangan afiliat (dari 7% kepada 18%).
“Memandangkan margin komersial perdagangan afiliat lebih rendah, pertumbuhan segmen ini dijangka mencairkan margin keuntungan kumpulan,” katanya.
Kenanga turut mengambil kira sasaran Foodie Media untuk membayar dividen minimum 40% daripada keuntungan bersih bagi FY26.
Berdasarkan kekukuhan prospek, Kenanga memberikan nilai wajar (FV) 38 sen sesaham, berpandukan 24 kali nisbah harga-ke-untung (PE) FY26.
Sementara itu, TA Research pula menetapkan nilai wajar 34 sen sesaham, berdasarkan PE 23 kali kepada unjuran EPS teras 1.6 sen bagi FY26.
Firma itu mengunjurkan pertumbuhan pendapatan 46%, 28.6% dan 28.6% bagi FY25, FY26 dan FY27 kepada masing-masing RM10.9 juta, RM14.1 juta dan RM18.1 juta.
Foodie Media bakal meraih RM41.4 juta melalui penawaran awam permulaannya (IPO), yang merangkumi terbitan awam 138 juta saham baharu serta tawaran untuk dijual sebanyak 112 juta saham pada harga tawaran 30 sen sesaham.
Syarikat itu dijadual disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 November. - DagangNews.com








