KUALA LUMPUR 8 Julai — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) melahirkan kebimbangan besar terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua import dari Malaysia.
Presidennya, Tan Seri Datuk Soh Thian Lai berkata, langkah yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025 itu dijangka mengganggu daya saing eksport dan daya tahan industri di Malaysia dengan begitu ketara.
Pelaksanaannya kata beliau, dilihat sebagai tamparan kepada sektor pembuatan yang sudah tertekan terutama bagi syarikat yang beroperasi pada margin tipis atau terikat dengan kontrak jangka panjang.
"Peningkatan terkini berisiko menjejaskan kestabilan sektor perindustrian yang telah rapuh, dengan kos tambahan, ketidaktentuan pasaran dan persaingan lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Thian Lai, walaupun produk yang berkaitan semikonduktor masih dikecualikan daripada tarif AS itu, industri sokongan seperti alat ganti, mesin dan bahan kekal terdedah kepada gangguan eksport.
Sementara sektor seperti produk getah, tekstil dan perabot antara yang kemungkinan paling teruk terjejas setelah peningkatan kos domestik seperti kenaikan tarif elektrik dan cukai perkhidmatan.
Beliau berkata, tarif baharu itu meletakkan Malaysia pada kedudukan lemah berbanding negara lain seperti Vietnam, yang telah memperoleh perjanjian dua hala pengurangan tarifnya kepada 20 peratus.
Di samping itu kata Thian Lai, negara-negara anggota ASEAN yang lain, termasuk Singapura, Brunei, dan Filipina, langsung tidak termasuk dalam pelaksanaan kenaikan terbaharu tarif AS tersebut.
"Rekod pematuhan, pelaburan dan sumbangan nilai tambah kita harus menjadi asas bantuan disasarkan untuk mengelakkan kerosakan struktur jangka panjang kepada kedudukan eksport Malaysia," kata beliau.
FMM tambahnya, menggesa kerajaan segera mempergiatkan tindak balas diplomatik memandangkan risiko semakin meningkat dan kedudukan Malaysia kurang bernasib baik berbanding negara serantau lain.
Selain itu kata Thian Lain, FMM menggesa pembaharuan domestik segera untuk meningkatkan kecekapan kos dan daya tahan pembuatan termasuk semakan ke atas perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pelaksanaan bermula 1 Julai 2025 katanya, menyaksikan cukai perkhidmatan dikenakan terhadap pelbagai perkhidmatan logistik dan berkaitan pengeluaran yang kemudian turut meningkatkan kos pengeluaran.
Justeru, FMM menggesa kerajaan menyemak dan memperbaharui struktur SST dengan pengecualian cukai perkhidmatan perniagaan-ke-perniagaan untuk pengilang berlesen, diguna pakai secara automatik.
"Penyelesaian jangka panjang mestilah penciptaan rangka kerja cukai yang menghapuskan sepenuhnya elemen cukai atas cukai dan memulihkan neutraliti merentas rantaian bekalan pembuatan," katanya.
Di peringkat antarabangsa, Thian Lai berkata, Malaysia mesti mengembangkan hubungan perdagangannya dengan memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang belum selesai seperti Kesatuan Eropah.
Negara ini juga wajar meneroka peluang dengan pasaran baharu di Afrika dan Amerika Latin untuk mengekalkan daya saing jangka panjang bersama-sama rakan dagang di seluruh dunia. - DagangNews.com








